suria

Bekas Pembantu Jururawat Didakwa Memperdagangkan Bayi

KUALA LUMPUR: Bekas pembantu jururawat di sebuah hospital swasta pada Khamis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memperdagangkan seorang bayi perempuan berusia lapan bulan, tahun lepas.

Mengikut kertas pertuduhan, Ghulab Jan Abdul Jabir, 49, didakwa memperdagangkan bayi berkenaan bagi tujuan eksploitasi di Hospital Taj, No 492, Batu 3, Jalan Ipoh, Sentul di sini pada 2.10 petang, 1 November 2010.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Amalina Ismail menawarkan jaminan RM50,000 dengan dua orang penjamin beserta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

"Jaminan yang ditawarkan berpatutan kerana kes ini membabitkan sindiket penjualan bayi dan merupakan kesalahan yang serius," katanya. Peguam Gerard Lazarus yang mewakili Ghulab dalam rayuannya memohon supaya jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya itu tidak lagi bekerja dan memberikan kerjasama kepada pihak polis sepanjang siasatan.

"Anak guam saya yang masih belum berkahwin, kini tinggal bersama keluarga dan dibantu oleh adiknya, selepas tidak lagi bekerja sejak ditahan pihak polis pada November 2010," katanya.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua orang penjamin dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 18 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Pada 2 November 2010, sebuah akhbar mendedahkan Unit Pemerdagangan Orang Bukit Aman telah menyerbu sebuah hospital swasta di Jalan Ipoh di sini dan menahan enam individu termasuk pemilik hospital yang bergelar Datuk, isteri serta anaknya serta tiga petugas hospital berkenaan yang disyaki terbabit dalam sindiket penjualan bayi. -BERNAMA

Artikel Lain