suria

Anwar Pertahan Tindakan Gantung Tidak Sah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim tegas dengan pendirian bahawa keputusan Dewan Rakyat menggantung beliau dan tiga Ahli Parlimen lain selama enam bulan pada Disember tahun lalu adalah tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang.

Ketua Pembangkang itu berkata, tindakan penggantungan tanpa sebarang perbahasan itu mencacatkan sistem Parlimen di negara ini.

"Kami kembali menjalankan tugas tapi tetap dengan pendirian bahawa penggantungan itu tidak adil, tidak menepati peraturan Parlimen serta tidak memberi ruang kepada kami untuk memberikan penjelasan bagi mempertahan dan membela diri.

"Ini adalah satu kecacatan kepada sistem Parlimen di Malaysia," katanya pada sidang media di Parlimen, di sini, Khamis.

Pada 16 Disember tahun lalu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh dan tiga lagi Ahli Parlimen pembangkang digantung daripada persidangan selama enam bulan berhubung isu berkaitan firma perunding antarabangsa Apco Worldwide Bhd.

Usul untuk menggantung Anwar diluluskan tanpa sebarang perbahasan menyaksikan kesemua Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan hingga menyebabkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengemukakan usul kedua, untuk menggantung tiga yang lain, iaitu Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R.Sivarasa (PKR-Subang) dan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) kerana menghina dewan.

Sementara itu, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, pembangkang menjanjikan perbahasan hebat pada sesi minggu hadapan berhubung permohonan kerajaan Pusat untuk menambah peruntukan sebanyak RM13 bilion.

"Kita dapat melihat pimpinan hari ini tidak lagi berpegang kepada prinsip dan peraturan sebaliknya bersandarkan kuasa majoriti mudah yang ada dalam dewan untuk menafikan kesemua hak-hak yang dijamin oleh peraturan.

"Minggu depan satu sesi paling hangat apabila kerajaan Pusat meminta peruntukan tambahan RM13 bilion," katanya.

Tambah Mohamed Azmin, pembangkang akan mengemukakan fakta termasuk beberapa pendedahan yang didakwa dilakukan kerajaan Pusat.

"Kita akan membongkarkan penyelewengan yang berlaku dalam tempoh enam bulan lalu.

"Kami akan ambil bahagian secara aktif untuk pastikan perkara ini tak mudah dilakukan dalam pimpinan Pusat," katanya.

Artikel Lain