suria

Muktamar Tahunan PAS: Kabinet Pilihan Raya - Abdul Hadi

GOMBAK: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengiktiraf barisan kepimpinan baru parti itu sebagai 'kabinet pilihan raya' sejajar dengan hasrat dan kehendak perwakilan muktamar kali ini.

Sambil menyifatkan keputusan pemilihan tersebut sebagai simbolik kematangan ahli memilih pemimpin yang bersedia berhadapan dengan pilihan raya umum ke-13 akan datang, Abdul Hadi yakin barisan kepimpinan baru itu berupaya membawa perubahan dalam PAS.

"Keputusan ini menunjukkan kematangan ahli, mereka memilih pimpinan yang berada di saf hadapan untuk pilihan raya.

"Sebab itu kabinet saya ini adalah kabinet pilihan raya," katanya pada sidang media di sini, Sabtu.

Beliau mengulas mengenai keputusan pemilihan PAS bagi sesi 2011/2013 yang menyaksikan kumpulan profesional menguasai majoriti kepimpinan parti itu terutamanya apabila jawatan Timbalan Presiden dimenangi oleh Mohamad Sabu - bukan dari kalangan pemimpin ulama.

Mohamad menang dengan mendapat 420 undi menewaskan penyandang jawatan berkenaan, Nasharudin Mat Isa yang hanya mendapat 224 undi.

Ditanya sama ada wujud gerakan untuk merubah kepimpinan ulama dalam PAS, Abdul Hadi berkata, perkara berkenaan tidak timbul kerana semua pemimpin berkenaan mendokong dasar dan perjuangan parti itu.

"Kepimpinan yang ada sekarang terdiri dari pelbagai latar belakang bermula daripada pemimpin-peminpin dewan dan pimpinan Pusat. Ia mewakili semua pihak... mewakili hasrat perwakilan dan inilah gambaran dalam PAS sekarang.

"Ketua-ketua dewan (sayap) adalah di kalangan kumpulan ulama. Sebab itu perwakilan memilih timbalan dan naib-naib presiden dari kalangan yang bukan ulama," katanya.

Selain itu diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa majoriti kepimpinan baru PAS ini lebih cenderung untuk menyokong Pakatan Rakyat terutamanya Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdul Hadi berkata: "Sokongan kita bukan bersifat individu, tapi tanggungjawab bersama dalam pakatan itu.

"Strategi perlu berubah, tapi dasar tidak berubah. Matlamat tidak berubah, acuan tidak berubah. Sepatutnya semua pihak menilai ketenangan yang berlaku dalam pemilihan PAS."

Artikel Lain