suria

Penghidap Tibi Bertambah Kerana Sistem Pengesanan Yang Efektif - Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR: Sistem pengesanan awal penyakit tibi yang efektif menyaksikan statistik penghidap di negara ini meningkat kepada 19,337 tahun lepas berbanding 17,000 pada 2009.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata keberkesanan sistem itu juga membolehkan penghidap diberi rawatan segera, sekali gus meningkatkan peluang sembuh.

"Sebaik dikesan, kita akan memberi rawatan mengikut program rawatan di hospital dan mereka akan dirawat sehingga sembuh secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus 'Epidemiological Intelligence and ManagementProgramme' (EIMP), di sini Khamis.

Liow berkata pemerhatian kerajaan juga mendapati golongan berusia antara 15 dan 54 tahun adalah paling ramai dijangkiti tibi.

Golongan itu ada yang dijangkiti tibi selepas dijangkiti HIV akibat penyalahgunaan dadah dan juga akibat menghidap penyakit kencing manis atau diabetes, katanya.

Mengulas mengenai kursus tersebut, Liow berkata ia adalah satu usaha untuk mempertingkatkan keupayaan kerajaan dalam mengesan, mengawal dan mencegah penyakit berjangkit daripada terus menular.

"Kursus ini akan membawa peserta berbincang dan mencari cara terbaik dalam negara-negara di dunia ini menguruskan segala aspek berkaitan penyakit berjangkit antaranya makmal, diagnosis dan pencegahan," katanya.

Kursus yang bermula semalam sehingga 22 Jun itu melibatkan 22 peserta dari 17 negara dan merupakan anjuran Program Kerjasama Teknikal Malaysia. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain