suria

Muktamar Tahunan PAS: Muslimat Digesa Guna Pengalaman Hadapi BN

SHAH ALAM: Muslimat PAS digesa supaya mempratikkan segala ilmu dan kepakaran yang diperoleh sepanjang pilihan raya terdahulu bagi menghadapi jentera Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Nuridah Salleh berkata, pengalaman yang diperoleh menerusi kursus dan bengkel daripada 16 pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri Sarawak, April lalu dianggap sebagai persediaan terakhir yang boleh digunapakai bagi menghadapi PRU akan datang.

"Gendang PRU ke-13 sudah dipalu dan kehangatannya mulai dirasai. Marilah kita kuatkan semangat dan melaksanakan gerak kerja PRU dengan komited. Tiada alasan munasabah untuk kita masih bertangguh-tangguh.

"Kita memerlukan komitmen semua ahli PAS da para muslimat merupakan satu komponen penting dalam menguruskan gerak kerja bagi mencapai suatu kejayaan," katanya ketika menyampaikan ucaptama di sini pada Khamis.

Dalam ucap tema 'Muslimat:Memimpin Perubahan, Meneraju Kebangkitan, Nuridah turut menggariskan tiga strategi utama yang disasarkan kepada tiga golongan sebagai persediaan menghadapi PRU nanti.

Ia termasuk menawan hati pengundi melalui penerangan dan dakwah berhikmah, rakan melalui ketulusan hati dan lawan melalui strategi bijaksana.

Jelas Nuridah, muslimat perlu turun padang untuk mengenal pasti pengundi, mendaftarkan pengundi muda, jiran tetangga dan rakan taulan menerusi pendekatan ziarah dari rumah ke rumah sama ada di bandar, pinggir bandar mahupun kawasan kampung.

"Dengan kaedah itu kita ketuk pintu hati mereka untuk memilih Islam yang syumul. Kita jelaskan juga cita-cita perjuangan PAS - PAS For All - PAS untuk semua dan segala tawaran Pakatan Rakyat seperti yang tertera dalam Buku Jingga," ujarnya.

Bagi menepis segala persepsi negatif mengenai PAS, Nuridah mahu muslimat menjelaskan perubahan dan penambahbaikan yang dilakukan parti komponen Pakatan Rakyat itu terhadap negeri di bawah pemerintahan mereka.

"Muslimat PAS dan wanita Pakatan Rakyat memainkan peranan penting dalam urusan pentadbiran kerajaan dengan menerajui portforlio yang mencabar seperti pelaburan dan perindustrian, pendidikan tinggi dan pembangunan insan serta kesihatan," jelasnya.

Selain itu, beliau menyeru para muslimat supaya memperkukuhkan semangat setiakawan di kalangan rakan seperjuangan Pakatan Rakyat bagi melaksanakan strategi dan muafakat setempat berpegang kepada matlamat dan kepenyingan bersama.

Dalam menghadapi strategi pihak lawan, Nuridah berkata, muslimat perlu mematuhi segala arahan pimpinan, tidak terburu-buru membuat keputusan dan tidak melengah-lengahkan masa.

"Ingatlah contoh teladan para sahabat Rasulullah yang setia mematuhi segala arahannya. Ambil tugasan yang kita ukur dengan kemampuan kita dan jangan cemburu dengan kemampuan sahabat seperjuangan," katanya.

Tambahnya, jika apa jua jawatan yang diamanahkan dilakukan dengan komited dan ikhlas, pastinya akan membuahkan kejayaan seperti yang dijanjikan Allah.

Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat kali ke-51 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak dekat sini pada Khamis dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Proses pengundian bagi pemilihan Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat bagi sesi 2011-2013 bermula pada pukul 12 tengah hari Khamis.

Artikel Berikut

Artikel Lain