suria

Ekspedisi Berbasikal 1Malaysia Cermin Semangat Generasi Muda - PM

PUTRAJAYA: Ekspedisi Berbasikal 1Malaysia menjadi cerminan kepada semangat generasi muda masa kini yang gigih, waja dan bersedia menghadapai sebarang cabaran, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sambil melahirkan rasa bangga, Perdana Menteri berkata semangat seumpama itulah yang perlu dipupuk dan diasuh di kalangan generasi muda hari ini, sekiranya ingin hasrat memartabatkan negara sebagai negara maju tercapai.

"Ini kerana sikap dan sistem nilaian budaya tersebut menjadi asas penentu kepada kejayaan serta masa depan negara yang lebih cemerlang. Jadi saya lihat ekspedisi berbasikal hari ini mencerminkan hasrat generasi muda untuk menjadikan semangat itu sebagai bekalan hidup.

"Kerana jika generasi hari ini lemah, longlai, tidak bersemangat dan terjebak dengan masalah sosial seperti dadah dan sebagainya, maka rosaklah masa depan negara," kata beliau semasa meraikan peserta Ekspedisi Berbasikal 1Malaysia yang disertai 110 pelajar universiti dan sekolah di sini Khamis.

Najib berkata peserta ekspedisi itu juga adalah bukti sekumpulan generasi muda yang boleh diharapkan dan semoga semangat itu dijadikan bekalan hidup seterusnya untuk menyumbang kepada kejayaan negara.

Ekspedisi berbasikal sejauh 342 km itu bermula di rumah Perdana Menteri di Pekan, Pahang pada Isnin lalu yang disertai pelajar Sekolah Menengah Tengku Abdullah di Pekan dan Universiti Malaysia Pahang tiba di perkarangan Bangunan Perdana Putra kira-kira pukul 9 pagi. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain