suria

Pemilihan PAS: Nama Calon Tercicir Akibat Kesilapan Teknikal

KUALA LUMPUR:Keciciran nama lima calon yang layak bertanding bagi Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, awal bulan depan berlaku disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilih PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, kesilapan itu diluar kawalan mereka kerana terlalu ramai nama calon yang perlu diuruskan.

"Dalam rekod jawatankuasa memang ada nama kelima-lima calon itu tapi tidak dimasukkan dalam senarai yang diedarkan kepada media. Kami tidak sempat membuat tiga kali semakan.

"Saya tidak merancang nak buat sidang media pada Selasa sebab banyak perkara belum selesai, tapi saya buat atas permintaan tuan-tuan," katanya.

Walaupun nama lima calon itu tidak disenaraikan, Abdul Halim berkata, pihaknya ada menghubungi mereka untuk memohon maaf dan memberitahu surat tawaran sudah dihantar pada Selasa.

Nama calon yang tercicir itu adalah Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob, Dr Dzulkefly Ahmad (ahli parlimen Kuala Selangor), Hishammuddin Sulaiman (Yang Dipertua PAS Keningau), Kamal Ashaari (exco Pemuda PAS) dan Muhammad Husin (Ahli Parlimen Pasir Puteh).

Sementara itu, beliau turut mengingatkan semua calon yang masih belum menerima surat rasmi pencalonan ekoran terdapat perubahan alamat surat menyurat supaya menghubungi pejabat agung dengan segera.

Ekoran perubahan itu, jumlah calon yang layak bertanding bagi jawatan tersebut kini adalah seramai 87 orang.

Beliau turut menasihatkan semua calon supaya menghantar surat persetujuan untuk bertanding selewat-lewatnya pada pukul 5 petang, Khamis depan sebelum senarai rasmi calon diumumkan keesokan harinya.

Artikel Lain