suria

'Kedah Sejahtera' Tidak Jadi Kenyataan, Sebaliknya Rakyat Sengsara - Azeez

KULIM: Tempoh tiga tahun yang diberikan kepada pakatan pembangkang untuk mentadbir negeri Kedah gagal mewujudkan keadaan yang sejahtera kepada rakyat sebagaimana slogan mereka "Kedah Sejahtera" tetapi menyebabkan rakyat sengsara.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pelbagai masalah gagal ditangani kerajaan negeri Kedah terutama masalah bekalan air, baik kepada pengguna di luar bandar mahupun pelajar universiti, dan terkini Majlis Bandaraya Alor Setar disita selama dua jam kerana gagal menjelaskan hutang tertunggak kepada sebuah syarikat.

Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan kerajaan negeri Kedah sebelum ini menolak permohonan UUM untuk menyambung rebat cukai tanah, menyebabkan UUM terpaksa membayar cukai tanah sebanyak RM1.7 juta setahun berbanding RM150,000 ketika rebat diberikan oleh kerajaan negeri Barisan Nasional sebelum itu.

Abdul Azeez yang juga Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia berkata sikap yang diamalkan kerajaan Kedah itu jelas mempamerkan sikap tidak kreatif kerajaan untuk menambah pendapatan negeri tapi mengambil kesempatan daripada orang yang mengalami kesusahan.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian PAdang Serai di sini, petang semalam, beliau berkata kerajaan negeri sepatutnya berbincang dan menghalusi perkara itu dengan kaedah-kaedah yang sesuai demi kepentingan masa depan pelajar-pelajar universiti berkenaan.

Sehubungan itu, Abdul Azeez menyeru anggota-anggota Umno khususnya di Kedah supaya bersatu mengukuhkan perpaduan parti dan berjuang untuk memenangi semula Kedah daripada pakatan pembangkang dan bukan berlumba-lumba untuk menjadi calon pilihan raya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain