suria

Hubungan UK-Malaysia Perlu Dorongan Politik Lebih Kukuh - Zakaria

LONDON: Hubungan dua hala antara Malaysia dan United Kingdom (UK) perlu dorongan politik yang lebih kukuh menerusi kekerapan pertukaran lawatan pemimpin kerajaan antara kedua-dua negara, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK Datuk Zakaria Sulong.

Menyifatkan Malaysia dan UK, kedua-dua anggota Komanwel, sebagai rakan lama, beliau berkata hubungan antara kedua-dua negara adalah baik dan menikmati hubungan dua hala "kekuatan tradisi" yang kuat dalam banyak bidang termasuk perdagangan.

Selain hubungan sejarah antara Kuala Lumpur dan London, beliau berkata terdapat keperluan untuk menyemaikan hubungan berterusan antara kedua-dua negara termasuk memacu hubungan politik peringkat tinggi. "Terdapat satu tempoh kehilangan peluang dalam masa 13 tahun lepas kerana tidak ada lawatan di peringkat tertinggi. Pertukaran peringkat tinggi jelas tidak ada," katanya kepada wartawan Malaysia di sini sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan lawatan kerja rasmi ke UK.

Najib dijadual tiba di sini Ahad untuk lawatan dua hari atas jemputan Pusat Pengajian Islam Oxford (OXCIS).

Zakaria berkata kerajaan baru British mahukan agar hubungan dengan ekonomi baru dan negara-negara sedang membangun, khasnya Malaysia, sebagai salah sebuah daripada tiga negara Komanwel di Asia Tenggara.

Dua negara lain lagi ialah Singapura dan Brunei.

Pesuruhjaya Tinggi itu berkata Malaysia boleh menjangkakan komitmen kuat untuk memperbaiki lagi hubungan dua hala daripada UK di bawah Perdana Menteri David Cameron yang mengetuai kerajaan campuran baru Parti-parti Conservative dan Liberal Demokrat.

Zakaria juga optimistik untuk meningkatkan hubungan London-Kuala Lumpur dengan kedua-dua Najib dan Cameron di tampuk kepimpinan negara masing-masing, menyifatkan kedua-dua lelaki itu sebagai pemimpin baru.

Najib memegang jawatan Perdana Menteri pada April 2009 sementara Cameron berkuasa pada Mei tahun lepas.

Selain pendidikan, yang menyaksikan lebih 12,000 penuntut Malaysia mengikuti pelbagai bidang pengajian di sini, Malaysia dan UK juga merupakan sekutu kuat dalam Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA).

Dalam aspek perdagangan dan pelaburan, UK adalah rakan perdagangan Malaysia ketiga terbesar di Eropah, selepas Jerman dan Belanda.

Menurut statistik Perdagangan dan Pelaburan UK (UKTI), UK mengeksport barangan ke Malaysia bernilai 1.22 bilion pound pada tahun lepas, meletakkan Malaysia sebagai pasaran eksport kedua terbesar di Asia Tenggara selepas Singapura.

Zakaria menekankan bahawa Malaysia hendaklah mengambil peluang dengan pengumuman London mengenai dasarnya bahawa ia berharap untuk meningkatkan dan mengukuhkan hubungan dengan kemunculan dan ekonomi.

"Ini sesuatu yang baru dan kita harap kita boleh mengambil peluang ini. Terdapat peluang baik untuk mengukuhkan kerjasama kita yang akan memberikan manfaat bersama, membolehkan kedua-dua negara untuk memperbaiki tempoh kehilangan," tambah beliau. -BERNAMA

Artikel Lain