suria

Siap beli tray hospital... Ibu mengidam dijemput datang jabatan sajian HSAH ambil makanan wad, lega dapat ikan sambal dan ‘sweet sour’

Anis tidak menyangka perkongsiannya yang teringin menikmati sajian dari HSAH akhirnya menjadi kenyataan.

"ALHAMDULILLAH, mungkin ini rezeki anak"

Demikian kata wanita bernama Anis Nabila selepas keinginannya untuk menikmati hidangan ikan masam manis yang disajikan di wad hospital, akhirnya tertunai.

Berkongsi dengan mStar, dia yang senang disapa sebagai Anis berkata, rasa mengidam tersebut tercetus selepas dia mengetahui kini sedang berbadan dua.

"Ini kehamilan ketiga saya selepas enam tahun menanti ahli keluarga baharu. Rasa mengidam menu hospital tu muncul sebab teringat tahun lepas saya jaga anak admit dalam wad di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

"Terbayang-bayang menu ikan masam manis (sweet and sour) yang dihidang. Jadi saya sekadar cuba nasib post dekat Facebook beberapa hari lalu.

"Tanpa saya duga, terlalu ramai yang respons dekat komen dan juga DM nak cuba bantu termasuk kawan-kawan jururawat yang menjadi kenalan di Facebook.

ngidam 2

Menu ikan 'sweet and sour' dari HSAH.

"Sehinggalah pada 27 April lalu seorang kenalan Facebook beritahu makciknya kerja sebagai jururawat di HSAH dan boleh cuba bantu. Mereka minta saya datang ambil pada sebelah petang," ujar wanita berusia 33 tahun ini.

Menurut Anis yang kini hamil enam bulan, dia turut membeli tray makanan yang seakan-akan digunakan di hospital seminggu lebih awal, semata-mata mahu merasai pengalaman sebenar seperti sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri hamil mengidam duduk ‘kerusi khas’, suami ‘kerek’ arahkan pelanggan wanita dan anak tukar tempat lain

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri mengidam putu mayam tapi ada banyak ‘kriteria’, netizen ajar suami ‘tipu’ kalau gagal penuhi syarat

"Petang Sabtu tu, saya bawa tray sendiri ke Jabatan Sajian HSAH. Alhamdulillah, meskipun hari itu menunya ikan sambal, saya rasa cukup puas. Siap bagi portion besar pula.

"Mereka siap minta datang lagi pada hari Isnin sebab menunya ikan sweet sour. Syukur tak terhingga... betapa baiknya hati mereka, saya dapat rasa dua menu.

"Paling terharu, mereka menolak apabila saya mahu membayar. Kata mereka, rezeki saya dan baby," ujarnya yang mempunyai dua cahaya mata berusia sembilan dan enam tahun.

Sebak rasanya bila ramai yang ambil berat dan cuba tak hampakan ibu mengandung.

ANIS NABILA

Bercerita lebih lanjut, Anis turut berkongsi kisahnya yang pernah mengidam sesuatu yang sukar diperoleh ketika hamil cahaya mata sulung.

"Ketika itu saya mengidam sangat nak merasa daging landak. Syukur Alhamdulillah, keinginan tersebut termakbul juga... Bagi saya, dalam tiga kehamilan, itu yang paling rare," katanya lagi.

ngidam 3

Anis dan suaminya bakal menimang cahaya mata ketiga.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Anis dalam masa yang sama menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang cuba menghulurkan bantuan untuk merealisasikan keinginannya.

"Saya nak mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada warga Facebook yang cuba bantu, kepada jururawat dan Jabatan Sajian HSAH dan tak lupa kepada kawan-kawan.

"Walaupun boleh dikatakan ramai yang tak kenal secara rapat, tapi mereka pakat-pakat nak tolong. Sebak rasanya bila ramai yang ambil berat dan cuba tak hampakan ibu mengandung," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain