suria

Bayaran untuk menunggu...

KALI pertama dan terakhir penulis dimasukkan ke hospital ialah pada tahun 1978 iaitu ketika penulis di tingkatan dua kerana sakit apendiks. Penulis harus menjalani pembedahan dan diwadkan selama seminggu di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada zaman itu, apendiks masih dilihat sebagai satu sakit yang serius. Hari ini, pembedahan untuk membuang apendiks sudah menjadi perkara biasa dalam dunia perubatan. Hari ini juga istilah hospital besar sudah tidak lagi digunakan. Semua hospital dianggap besar. Penulis masih ingat ketika penulis bertanya kepada menteri kesihatan suatu ketika dahulu, kenapa kerajaan ubah, tidak panggil lagi hospital besar sebagai hospital besar, jawapannya mudah - sebab orang ramai hanya hendak mendapatkan rawatan di hospital besar kerana menganggapnya ‘besar’.

Masyarakat juga mempunyai satu set minda yang pelik iaitu yang terbaik semuanya ditempatkan di hospital besar, hospital daerah cuma ala kadar sahaja. Jadi ini adalah masalah set minda dan perbuatan di bawah sedar. Akibatnya, mereka tidak mahu berkunjung ke hospital-hospital daerah. Apabila ini berlaku, peralatan dan kemudahan yang terdapat di hospital daerah tidak dioptimumkan sebagaimana sepatutnya. Maka itu, hari ini hospital-hospital kerajaan hanya dikenali dengan nama bandar seperti Hospital Kuala Lumpur, Hospital Kulim atau Hospital Kuala Kubu Baru.

Khamis lalu, penulis sekali lagi berkunjung ke hospital. Kali ini bukan hospital kerajaan tetapi semi-kerajaan iaitu sebuah hospital universiti. Waktunya: 9.30 malam. Jalan masuk ke hospital itu agak sempit kerana pembangunan. Kira-kira 20 tahun dahulu ketika penulis buat pertama kalinya menjejakkan kaki ke kawasan premis hospital berkenaan untuk menemuramah seseorang, ia hanya memiliki sebuah bangunan menara. Kini di sekeliling menara utama hospital itu telah dipenuhi bangunan baru dan bangunan tambahan menyebabkan laluannya sempit dan sukar mencari arah apatah lagi pada waktu malam.

Di atas segala kesulitan itu juga penulis gagal mencari tempat meletak kenderaan yang sepatutnya. Jadi apa yang berlaku penulis telah meletakkan kereta jauh di bahagian belakang sedangkan untuk urusan sebelah malam, ia dikendalikan oleh Jabatan Trauma dan Kecemasan sahaja yang kebetulan terletak di bahagian depan. Oleh kerana sudah lama tidak berkunjung ke hospital penulis tidak menyedari akan perkara itu. Ketika sedang berjalan kaki menuju ke tempat yang penulis sendiri belum tahu arah tujunya, tiba-tiba muncul seorang jururawat di pejalan kaki.

****

“Encik hendak ke mana,” sapa jururawat itu. “Entah! Saya pun tidak pasti saya hendak tuju ke mana tetapi saya hendak dapatkan rawatan untuk isteri saya,” jawab penulis. “Encik kena pergi ke bahagian Trauma dan Kecemasan encik...pesakit luar pada sebelah malam diuruskan oleh bahagian ini encik. Tak apa...encik ikut saya keluar semula dengan kereta, biar saya bawa encik ke sana,” katanya.

Baik hati sungguh jururawat itu. Tidak hairanlah dia menjadi seorang jururawat. Walaupun dia sudah habis bertugas dan hendak pulang ke rumah tetapi dia sanggup menunggu penulis membawa kereta penulis keluar dari tempat pakir dan mengikutinya dari belakang lalu dia terus memandu arah kami dengan membuat satu pusingan balik sehinggalah kami sampai di hadapan Jabatan Trauma dan Kecemasan. Bila sudah sampai, dia keluar dari keretanya, dan memaklumkan apa yang perlu dilakukan. Hanya selepas itu barulah dia beredar pergi.

Suasana di bahagian ini memang kelihatan masih sibuk walaupun dah hampir jam 10 malam. Antara 50 hingga 60 orang sedang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar pada malam itu. Mula-mula kena daftar diri. Di kaunter ini, pesakit perlu mengambil angka giliran dan tunggu nombor itu dipanggil untuk didaftarkan. Selepas itu menunggu lagi. Mungkin kerana ramai orang. Selepas setengah jam nama pun dipanggil. Pergi ke kaunter untuk beri maklumat peribadi secara terperinci, nama, umur, alamat rumah, tujuan datang dan sebagainya. Selepas itu darah sedikit diambil untuk periksa paras gula dalam darah. Kemudian menunggu lagi. Lepas seketika, nama dipanggil semula.

Apabila ke kaunter segala data dan maklumat direkodkan di dalam komputer, pesakit akan diberi kad rawatan. Tetapi sebelum kad rawatan itu diberikan, pesakit kena bayar dulu. Bayaran itu berjumlah RM40. Ia adalah bayaran konsultansi. Penulis tidak pasti apakah kadar caj ini sama untuk semua pesakit. Tetapi jumlahnya berpatutan dan tidak mahal. Mungkin sebab itu orang kebanyakan akan ke hospital kerajaan atau semi-kerajaan kerana ia tidak membebankan. Yang membebankan cuma satu - sama ada anda sanggup menunggu atau tidak. Kakitangan di bahagian kaunter kemudian akan menyuruh pesakit ke satu ruang lain atau unit lain pula untuk menunggu. “Encik pergi tunggu kat bilik rawatan lima ye...nanti nama encik akan dipanggil. Tunggu di depan bilik rawatan tu sehingga nama dipanggil.” Di sinilah waktu menunggu sampai ke tahap menguji kesabaran. Bermacam jenis manusia dan pesakit sedang menunggu. Ada yang baru lepas kemalangan. Ada yang sakit perut, ada yang anak kecil sedang menangis nakkan perhatian dan ada pasangan yang sudah berjam-jam menunggu tertidur di atas kerusi menunggu.

****

Alahai...nak salahkan hospital pun tidak boleh juga kerana hanya ada dua orang doktor sahaja yang kelihatan bertugas pada malam itu. Barang diingat mereka juga bekerja dalam suasana yang tidak kondusif dan tertekan kerana di luar bilik rawatan, senarai yang sedang menunggu bukan seorang dua tetapi berpuluh-puluh orang. Begitu juga dengan jururawat. Penulis harus memuji para doktor dan jururawat ini. Dan melihat mereka bekerja, penulis tertanya-tanya apa yang menjadikan mereka sanggup memilih profesion ini dalam kehidupan mereka. Melihat trauma, darah, malapetaka, kecemasan, kesakitan kehidupan orang lain saban hari. Penulis tidak sanggup.

Setelah hampir tiga jam menunggu giliran untuk bertemu doktor, akhirnya hampir jam 12 tengah malam barulah urusan selesai. Itu pun belum selesai sepenuhnya. Keesokan harinya kena datang semula untuk jumpa pakar lain pula. Di sana pesakit perlu melalui proses yang sama sekali lagi. Nak daftar kena ambil nombor giliran. Lepas tu kena bayar dulu caj konsultansi (juga kena ambil nombor giliran). Lepas tu jumpa doktor (juga kena ambil nombor giliran). Kemudian sekali lagi pergi ambil darah (juga kena ambil nombor giliran). Lepas ambil darah kena naik ke tingkat 2 pula untuk dapatkan tarikh temujanji untuk buat imbasan ultra-sound. Di situ juga kena ambil nombor giliran. Bila nombor giliran dipanggil, penulis terkejut apabila diberitahu, untuk proses membuat imbasan ultra-sound, gilirannya ialah pada 22 Ogos 2011 iaitu kurang lebih empat bulan dari sekarang.

Penulis tanya, kenapa tempoh menunggu lama sangat. Jawapan yang diberikan sangat sahih (valid). Kerana mesin imbas hanya ada empat buah sahaja. Orang yang menunggu sehari untuk tujuan membuat imbasan ialah antara 70 hingga 80 orang. Untuk setiap imbasan, doktor perlu membuat laporan bertulis dan analisis data sebelum dapat bertindak seterusnya. Bayangkan mereka kena sediakan laporan data dan analisis untuk 80 orang sehari. Penulis sendiri pun tak sanggup. Untuk semua proses sepanjang hari kedua ini, bayaran yang dikenakan ialah seperti berikut; pendaftaran (RM30); rawatan doktor pakar dan lain-lain (RM93.50); ubat (RM20). Itu sahaja tidak mahal pun. Tetapi ‘bayaran’ yang sebenarnya yang kelihatan jauh lebih mahal dari segala-galanya ialah ‘bayaran untuk menunggu...’

Artikel Lain