suria

Nelayan Perdagang 21 Warga Afghanistan Dihukum Penjara 4 Tahun

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan seorang nelayan dihukum penjara selama empat tahun bermula Jumaat, selepas didapati bersalah memperdagangkan 21 warga Afghanistan, tahun lalu.

Hakim Slamat Yahya menjatuhkan hukuman itu terhadap Sopri Mohmad, 44, selepas mendapati pembelaannya secara tidak bersumpah dari kandang tertuduh gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Pada penghakimanya, Slamat berkata, tertuduh telah gagal untuk memberikan penjelasan mengapa dia bersama dengan semua mangsa yang difahamkan dalam perjalanan untuk ke Indonesia sebelum menuju ke Australia.

“Sama ada mangsa telah diekploitasikan atau diperdagangkan juga dapat dilihat pada keterangan saksi,” tambahnya.

Sopri didakwa memperdagangkan 21 mangsa tersebut yang berusia antara 18 hingga 54 tahun pada pukul 10.15 malam, 17 Februari 2010 di Muara Sungai Changkat, Hj Dorani, Sungai Besar, Sabak Bernam, dekat sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu bagi maksud ekploitasi yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang 2007.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, Slamat juga membenarkan permohonan tertuduh yang beralamat di Kampung Baru Nelayan, Sungai Besar untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara kerana akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Bagi tujuan tersebut, beliau memerintahkan supaya jaminan tertuduh sebanyak RM25,000 dinaikkan menjadi RM50,000 dengan dua orang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Maisarah Kamal mengemukakan 11 saksi pendakwaan, termasuk sembilan mangsa ekoran 11 lagi telah melarikan diri.

Tertuduh yang mempunyai tujuh orang anak diwakili peguam Pritam Singh.

Artikel Lain