suria

Jangan Undang Kematian Ketiga Di SPRM – Pemuda PAS

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS (DPP) pusat menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap siasatan yang dijalankan ke atas saksi dibuat secara telus dan terperinci supaya tiada lagi kematian melibatkan saksi dicatatkan.

Ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Nasrudin Hassan at-Tantawi berkata SPRM perlu memberi jaminan bahawa keselamatan setiap saksi akan dipantau sepenuhnya ketika siasatan dijalankan.

"Bagi menjaga nama baik SPRM, suatu siasatan yang telus dan terbuka perlu dijalankan secara terperinci. Kami menggesa agar SPRM tidak terikat dengan kongkongan atau pengaruh politik mana-mana pihak.

"Sekiranya ada individu yang didapati bersalah dalam kes ini, hukuman setimpal perlu dijalankan tanpa kompromi meskipun individu tersebut adalah seorang berprofil tinggi," katanya dalam satu kenyataan di sini, Ahad.

Jumaat lalu, SPRM mengambil langkah keselamatan maksimum dengan mengarahkan supaya semua urusan melibatkan orang yang dituduh, disyaki, saksi atau pengadu diselesaikan di aras bawah bangunan SPRM berkuat kuasa serta merta.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM Datuk Zakaria Jaafar berkata, bagi urusan melibatkan pejabat SPRM yang tidak mempunyai aras bawah terutamanya pejabat SPRM di negeri-negeri, mereka yang terbabit perlu diawasi sepanjang masa oleh pegawai-pegawai SPRM.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata SPRM wajar mengambil iktibar di atas tragedi yang menimpa Setiausaha Politik Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hin, Teoh Beng Hock dan Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed dengan memberi perhatian serius terhadap keselamatan saksi ketika siasatan dijalankan.

"SPRM tidak boleh membiarkan pegawai-pegawainya bersikap lepas tangan dan tidak memantau keselamatan saksi atau tahanan.

"SPRM juga mesti memberi jaminan agar semua saksi atau tahanan mereka selamat semasa dalam premis SPRM. Selain itu, saksi atau tahanan perlu diberikan hak membela diri dan tidak dikasari atau diugut," katanya.

Jelasnya, SPRM perlu terus menjaga imej dan kredibiliti agar tidak dipersoalkan rakyat.

"Hanya dengan cara ini, SPRM mampu mengembalikan keyakinan rakyat. Jika tidak selamanya rakyat meletakkan persepsi bahawa SPRM tidak bebas kongkongan pihak tertentu.

"Selain itu, rakyat pula akan menjadi takut apabila dipanggil memberikan keterangan atau disoal siasat dalam premis SPRM," katanya.

Justeru, beliau mendesak kerajaan agar kerajaan menjalankan siasatan rapi serta menyeluruh bagi menyiasat punca sebenar kejadian yang menyebabkan kematian Ahmad Sarbani.

"DPP Pusat berharap kematian Ahmad Sarbani dapat pembelaan dan keadilan yang sewajarnya.

"Oleh itu, kita meminta rakyat agar bertenang dan tidak membuat spekulasi awal terhadap mana-mana pihak termasuklah SPRM sendiri agar keadilan dapat ditegakkan,” katanya.

Ahmad Sarbani adalah antara pegawai kastam yang ditahan SPRM dalam Operasi 3B pada pukul 1 petang, 1 April lepas di Pejabat Kastam, Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang bagi membantu siasatan rasuah, aktiviti pengubahan wang haram dan pelbagai kesalahan lain, namun beliau dibebaskan dengan jaminan pada 2 April.

Beliau dikatakan hadir ke pejabat SPRM itu semalam untuk bertemu pegawai penyiasat bagi berbincang mengenai kes terhadapnya.

Bagaimanapun beliau ditemui mati dalam keadaan tertiarap di gelanggang badminton di Tingkat 1 bangunan SPRM Jalan Cochrane pada pukul 10.15 pagi, Rabu lalu.

Ini merupakan kes kematian kedua melibatkan saksi yang memberi keterangan kepada SPRM.

Pada 16 Julai 2009, Beng Hock ditemui mati di koridor luar tingkat lima pejabat bangunan SPRM di Plaza Masalam Shah Alam.

Artikel Sebelum

Artikel Lain