suria

Kepelbagaian Calon BN Peluang Untuk Pertahan Majoriti 2/3

SANTUBONG: Barisan Nasional (BN) Sarawak yakin akan dapat mengekalkan penguasaan majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun pilihan raya kali ini mencatatkan jumlah calon bertanding tertinggi dalam sejarah iaitu seramai 213 calon.

Keyakinan itu dilaungkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar selepas mengambil kira senarai calon baru mahupun lama yang dilihat berpotensi besar untuk menang pada pilihan raya negeri ke-10 ini.

"Secara keseluruhannya, kita menurunkan calon yang cukup baik dan profesional untuk bersaing dengan pihak lawan di semua kawasan. Saya yakin mereka akan mendapat tempat di hati rakyat," katanya di sini, Jumaat.

Menurutnya, meskipun BN mempertaruhkan beberapa muka baru, parti itu masih mengekalkan calon lama yang mempunyai prestasi memberangsangkan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

"Ada juga di kalangan calon lama yang menarik diri kerana ingin memberi laluan kepada muka baru. Namun saya lihat barisan calon kali ini cukup baik dan saya amat berpuas hati dengan senarai keseluruhannya," jelas beliau.

Sementara itu, Wan Junaidi menyeru semua pengundi berdaftar di Sarawak supaya tidak terpedaya dengan hasutan pembangkang dan terus menyokong kerajaan bagi memastikan program pembangunan dan kesejahteraan rakyat terus terjamin.

"Undian rakyat pada 16 April nanti akan menentukan masa depan negeri Sarawak. Oleh itu, tunaikan tanggungjawab anda sebagai pengundi dan buatlah pilihan yang tepat," katanya.

Pada pilihan raya negeri Mei 2006, BN menguasai 62 daripada 71 kerusi DUN.

Artikel Lain