suria

Sultan Selangor Sampaikan Watikah Pelantikan Canselor Unisel

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Selasa berkenan menyampaikan watikah pelantikan Canselor Universiti Industri Selangor (Unisel) yang baru, Tan Sri Raja Arshad Tun Uda.

Pelantikan Raja Arshad sebagai Canselor Unisel selama lima tahun berkuat kuasa 1 Mac hingga 29 Februari 2016.

Istiadat pengurniaan itu turut disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beberapa Exco Kerajaan Negeri.

Jawatan Canselor sebelum ini disandang oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang pada 5 Februari lalu telah tamat tempoh perkhidmatannya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam dilantik sebagai Pro-Canselor.

Raja Arshad yang juga Pengerusi Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) adalah Pengarah Khazanah Nasional, Pengarah Sime Darby Berhad, anggota Panel Kajian Semula Pencukaian, Pengarah Pro-Canselor Unisel, Pengerusi Yayasan Raja Muda Selangor, anggota Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Felo Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales.

Ismail pula mengetuai JPA sejak 2004, pernah menjawat jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Sharafuddin berharap pelantikan Canselor Unisel yang baru ini tidak disalaherti dan dipolitikkan.

"Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab Beta untuk menggunakan segala kebijaksanaan Beta untuk memilih mereka yang Beta percaya dan berpotensi untuk mewakili Beta untuk menerajui Unisel ke arah kemajuan serta kecemerlangan.

"Oleh yang demikian, Beta berkenan menitahkan kepada seluruh rakyat negeri Selangor agar perkara ini tidak disalahertikan dan dipolitikkan," titah baginda sejurus menyampaikan watikah pelantikan kepada Raja Arshad di Istana Bukit Kayangan di sini pada Selasa.

Baginda bertitah, mengikut Perlembagaan Unisel, Canselor Unisel adalah Sultan Selangor atau wakil yang dilantik oleh baginda.

Sultan Sharafuddin turut berharap supaya kepimpinan tertinggi Unisel termasuk Canselor, Pro-Canselor, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah serta Naib Canselor dapat menjalankan fungsi mereka dengan baik serta sempurna demi kemajuan pendidikan generasi muda di Selangor.

"Patuhilah segala peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak-pihak berwajib terutama Kementerian Pengajian Tinggi.

"Janganlah hanya mementingkan keuntungan semata-mata kerana pembelajaran yang sempurna tidak ternilai harganya," titah baginda.

Baginda bertitah tugas Unisel adalah untuk melahirkan graduan-graduan yang berkaliber bagi memajukan lagi industri di negeri Selangor sekaligus meninggikan taraf ekonomi negeri.

"Beta berkenan supaya Unisel menumpukan sukatan matapelajaran terasnya untuk menghasilkan graduan-graduan yang berkualiti dalam bidang yang berkaitan dengan perindustrian.

"Beta berpendapat apabila sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT) terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam politik kepartian maka ia akan menghilangkan kepercayaan pihak-pihak tertentu serta menimbulkan banyak masalah di samping merugikan universiti tersebut," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah sekiranya perkara itu berlaku maka ibu bapa akan merasa ragu-ragu untuk membenarkan anak-anak mereka melanjutkan pelajaran di universiti tersebut.

"Beta tidak mahu perkara seumpama ini terjadi kepada Unisel kerana aset utama sesebuah universiti adalah pelajar-pelajarnya.

"Kecemerlangan yang dicapai oleh sesebuah universiti diukur dengan pencapaian graduan-graduannya serta sumbangan mereka kepada masyarakat dan kawasan sekitarnya," titah baginda.

Artikel Berikut

Artikel Lain