suria

KSN Umum Pelantikan Dan Pertukaran Enam Pegawai Tinggi Kerajaan

KUALA LUMPUR: Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Zainal Rahim Seman dilantik sebagai Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Manusia bermula 16 Mac bagi menggantikan Datuk R. Segarajah yang telah bersara wajib.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan dalam satu kenyataan di sini Jumaat, berkata, tempat Zainal Rahim akan diambil alih oleh Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang Datuk Farizan Darus.

Sidek juga mengumumkan pelantikan dan pertukaran empat lagi pegawai kanan Perkhidmatan Awam, antaranya Mokhtar Mohd Jait, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai yang dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang.

Datin Paduka Nurmala Abdul Rahim, Timbalan Ketua Setiausaha (Komoditi), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi pula dilantik sebagai Ketua Setiausaha dan tempatnya diambil alih oleh Nagarajan N.Marie Chett.

Nazirruddin Abdul Rahman, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan, Kementerian Pelajaran dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), kementerian itu mulai 1 Mac, menggantikan Datuk Badarudin Abdul Rahaman yang telah bersara wajib.

Sidek juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Wira Ismail Salleh, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Segarajah, dan Badarudin di atas segala sumbangan dan khidmat bakti mereka.

Zainal Rahim, 53, adalah pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Sains Malaysia/Syracuse University, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda (Sejarah Eropah dan Sosiologi) dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

"Beliau memiliki pengalaman dalam bidang pengurusan dan pentadbiran negeri, daerah serta Pihak Berkuasa Tempatan menerusi karier perkhidmatannya yang bermula di Kementerian Kerja Raya pada tahun 1984," kata Sidek.

Beliau pernah bertugas di Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (1992-1997) dan Ketua Penolong Pengarah, Unit Majlis Bersama Kebangsaan, Bahagian Saraan, Jabatan Perkhidmatan Awam (1998-2001).

Di Pulau Pinang, Zainal Rahim pernah menjadi Pegawai Daerah Balik Pulau, Pengarah Pembangunan Negeri dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baru Farizan, 51, berkelulusan Ijazah Sarjana Pembangunan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia, dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Geografi dari Universiti Malaya.

Beliau menyertai Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 9 Januari 1984, bermula sebagai Penolong Setiausaha, Bahagian Naik Pangkat/Tatatertib, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Farizan juga pernah memegang jawatan Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (2004-2006) dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Prai (2007-2009).

Mokhtar, 55, yang menggantikan tempat Farizan pula, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perniagaan Tani dari Universiti Putra Malaysia.

Beliau menyertai Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Ogos 1989, dan pernah menjadi Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, dan Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Nurmala, 56, berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Pennsylvania State University, Amerika Syarikat, dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Bandaran dari Universiti Sains Malaysia.

Beliau menyertai Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 November 1978, sebagai Penolong Setiausaha, Kementerian Pertanian sebelum menjadi Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Pertanian (1982-1984).

Nurmala pernah menjadi Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Produktiviti, Unit Pemodenan dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Pengarah, Bahagian Kerjasama Ekonomi Asean, di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dari 2002 hingga 2004.

Dari 2004 hingga 2006, Nurmala bertugas sebagai Menteri Penasihat Hal Ehwal Ekonomi, kementerian itu di Tokyo sebelum kembali sebagai Pengarah Kanan, Bahagian Khidmat Pengurusan di kementerian berkenaan.

Penggantinya Nagarajan, 53, berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi dari Vanderbilt University, Amerika Syarikat, dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Sains Malaysia.

Beliau menyertai Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 9 Januari 1984, bermula sebagai Penolong Setiausaha, Seksyen Perancangan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Nagarajan juga pernah menjadi Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Kerjasama Ekonomi Asean di MITI dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perhubungan Antarabangsa, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pelajaran yang baru, Nazirruddin, 54, berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan, dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dalam bidang Pembangunan Desa dari Universiti Malaya.

Beliau menyertai Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Disember 1981, bermula sebagai Penolong Pengarah, Bahagian Basmi Kemiskinan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain