suria

Peruntukan RM5.67 Juta Untuk Sambut Hari Wilayah

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar memperuntukkan sebanyak RM5.67 juta untuk sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2011.

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin berkata peruntukan lebih besar dikeluarkan pada tahun ini bertujuan mengajak warga wilayah itu menghayati erti sebenar Hari Wilayah Persekutuan.

Peruntukan tersebut termasuklah perbelanjaan kos perbarisan, pemberian cenderahati, konsert, pertandingan dan program-program lain yang telah diatur sepanjang Februari ini.

"Tahun lepas kita kita telah keluarkan bajet sebanyak RM5.3 juta. Tahun ini lebih sikit sebab kita adakan perbarisan dan perarakan kontinjen yang melibatkan lebih ramai penyertaan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jabatan-jabatan kerajaan dan persatuan," katanya dalam satu sidang media sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2011 yang diadakan di sini pada Rabu.

Menurut Raja Nong Chik, pemberian cenderahati yang kepada orang ramai khususnya warga Wilayah Persekutuan pertama kali diadakan pada tahun ini bertujuan mencerminkan identiti untuk sambutan tahunan itu.

Jika sambutan menggalakkan, kemungkinan besar jumlah cenderahati akan ditambah pada tahun hadapan.

Katanya, pemberian cenderahati kepada segenap lapisan masyarakat akan mencerminkan semangat 1Malaysia seterusnya mampu membawa kepada peningkatan kemajuan di ketiga-tiga wilayah yang diletakkan sebagai Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

"Kita mahu naikkan semangat seluruh warga Wilayah Persekutuan. Kita tak mahu orang ramai anggap Hari Wilayah sebagai hari cuti umum semata-mata. Sekurang-kurangnya mereka yang bekerja di Selangor tapi tinggal di Kuala Lumpur juga akan dapat menikmati sambutan ini.

"Bila semua warga Wilayah Persekutuan faham dan menghayati signifikan sambutan ini diadakan, saya yakin kita dapat satukan hati bagi memajukan wilayah untuk mencapai Wawasan 2020," katanya.

Sempena sambutan ini juga, lagu Wilayah Persekutuan telah ditukar kepada lirik dan irama baru yang lebih segar, bagaimanapun tajuknya, Maju Dan Sejahtera dikekalkan.

Tambah beliau, selain program dan aktiviti untuk orang ramai yang diadakan sempena sambutan selama sebulan ini, kerajaan juga mengadakan program dan usaha bagi memberi perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat untuk jangka masa panjang.

Antara perancangan terbesar kerajaan termasuklah melancarkan 'Invest KL' dan mewujudkan KL Greater Home.

Mengulas masalah setinggan dan sampah di Kuala Lumpur, beliau berkata masalah itu akan dapat diselesaikan sekiranya wujud kerjasama antara kerajaan dan masyarakat.

"Saya rasa kita sudah dapat atasi masalah setinggan, cuma proses untuk menyuruh penduduk supaya berpindah perlu dibuat dengan cara berhemah, kita tak mahu paksa mereka.

"Tak guna kita sasar 'Zero Setinggan' tapi rakyat tak puas hati. Kita tak mahu mereka kata kerajaan kejam sedangkan kerajaan sentiasa prihatin terhadap mereka," katanya.

Sempena sambutan ini, warga Wilayah Persekutuan bakal menikmati banyak tawaran dan diskaun istimewa termasuklah diskaun 50 peratus bagi penggunaan kemudahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seperti dewan serbaguna, gelanggang sukan dan pusat komuniti.

Pada 1 Februari, diskaun diberikan untuk bayaran masuk ke Taman Burung Kuala Lumpur, tambang bas KL Hop On Hop Off dan bayaran masuk ke Menara KL.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain