suria

KDN Mantapkan Usaha Perangi Jenayah Tahun Ini

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri akan memantapkan usaha mengurangkan jenayah pada tahun ini selepas berjaya merekodkan penurunan sebanyak 15 peratus berbanding sasaran asal lima peratus bagi Indeks Jenayah pada 2010.

Usaha pemantapan bagi mengurangkan jenayah itu adalah satu dari tujuh komitmen yang digaris Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam Perutusan Tahun Baru 2011 di kementerian berkenaan di sini, Jumaat.

Hishammuddin berkata kementerian akan memantapkan lagi komitmen untuk mengurangkan kadar jenayah seperti yang disasarkan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) menerusi 55 inisiatif yang dicadangkan oleh Makmal Jenayah.

"Pendekatan bersepadu dari segi fungsi setiap jabatan dan agensi dalam kementerian akan diteruskan dan dipertingkatkan," katanya.

Kementerian mensasarkan penurunan Jenayah Indeks Keseluruhan bagi tahun ini sebanyak lima peratus dan bagi Jenayah Jalanan sebanyak 20 peratus. Tahun lepas, negara mencatat pengurangan bagi Jenayah jalanan sebanyak 35 peratus berbanding sasaran 20 peratus.

Selain itu Hishammuddin berkata di bawah komitmen sama, kerjasama strategik yang lebih erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan turut dirangka bagi membolehkan lebih ramai anggota keselamatan berada di kawasan panas.

Beliau berkata antaranya kementerian akan menempatkan semula 8,140 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Semenanjung Malaysia, mengikut giliran.

Enam komitmen lain ialah memberi nilai tambah kepada Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) kementerian; meningkatkan kecekapan pengurusan isu rakyat asing; menangani ancaman jenayah merentasi sempadan; memerangi pengedaran dan penyalahgunaan dadah; mempertingkat keberkesanan pemulihan; dan menggerakkan gelombang kesukarelaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain