suria

Tiga Lelaki Ditahan Bantu Kes Pemilik Pasar Raya Ditembak Mati

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pemilik pasar raya segar yang ditembak mati di Jalan Pinggiran, USJ 1/1, Petaling Jaya, Selasa.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata ketiga-tiga lelaki berumur antara 28 hingga 49 tahun itu ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian itu berlaku, di tiga lokasi berbeza di sekitar Subang.

"Tidak semestinya penahanan tiga lelaki ini menjadikan mereka suspek utama kes tersebut kerana beberapa isu timbul dalam siasatan kami.

"Mereka mempunyai rekod lampau dalam kesalahan jenayah (yang enggan didedahkan). Kita juga percaya ada lagi yang masih bebas dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini Rabu.

Dalam kejadian itu, pemilik pasar raya berumur 50-an itu bersama teman wanitanya berumur 30-an baru keluar dari pasar raya berkenaan kira-kira 9.30 malam.

Sejurus kemudian, sebuah motosikal berwarna merah menghampiri bahagian cermin pemandu sebelum pembonceng motosikal itu melepaskan dua das tembakan yang mengenai kepala si mati. Teman wanita mangsa selamat.

Tun Hisan bagaimanapun enggan mengulas laporan bedah siasat ke atas si mati termasuk jenis peluru yang ditemui di kepala mangsa.

Katanya kesemua lelaki ditahan reman selama enam hari sehingga 27 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain