suria

Cadangan Kepada Kabinet Bagi Selesaikan Masalah Sampah

BALING: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet dalam masa terdekat ini bagi mendapatkan kelulusan untuk mewujudkan undang-undang bagi membantu kementerian menyelesaikan masalah sampah terbiar.

Menteri berkenaan Datuk Chor Chee Heung berkata pihaknya akan mengemukakan cadangan itu memandangkan ada di kawasan tertentu, syarikat-syarikat yang diberi amanah gagal membersihkan sampah terutama di kawasan perindustrian.

Jika adapun sampah yang diambil di kawasan perindustrian oleh syarikat-syarikat berkenaan, katanya ia adalah hasil perbincangan antara pihak kilang dan swasta dengan syarikat itu dalam memastikan kawasan persekitaran berkenaan bersih.

Katanya jika undang undang itu diluluskan, kementerian boleh mengambil tindakan ke atas syarikat terbabit yang diberi tanggungjawab melaksanakan tugas untuk mewujudkan persekitaran bersih.

"Jika sudah ada undang-undang, senang pihak kementerian untuk mengambil tindakan jika syarikat berkenaan gagal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Local Agenda 21 Majlis Daerah Baling (MDB) di sini, Ahad.

Tiga syarikat yang menguruskan sisa pepejal adalah E-Idaman Sdn Bhd bagi Wilayah Utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak; Alam Flora Sdn Bhd (Wilayah Tengah - Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang) dan Southern Waste Management Sdn Bhd (Wilayah Selatan - Melaka, Negeri Sembilan dan Johor).

Chor berkata walaupun tidak berpuas hati dengan prestasi syarikat yang diberi tanggungjawab itu, beliau memahami masalah dihadapi ketiga-tiga syarikat berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Chor berkata penduduk dalam kawasan majlis daerah dan perbandaran perlu memainkan peranan dalam melahirkan kawasan persekitaran bersih dan bebas daripada sampah.

Katanya dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), RM167,574,211.81 diperuntukkan kepada 11 pihak berkuasa tempatan di Kedah bagi melaksanakan 1,799 projek.

"RM1,806,900.00 bagi tujuan melaksanakan program kesihatan, RM38,081,165.22 bagi melaksanakan 554 projek pembangunan penempatan tradisional dan tersusun dalam kawasan PBT. RM252,500 bagi melaksanakan program Local Agenda 21 dan RM14,807,166.61 bagi melaksanakan 445 program kemajuan perkampungan," katanya.

Pada majlis itu, Chor turut menyampaikan hadiah kepada peserta pertandingan mewarna bagi kanak-kanak Tadika dan merasmikan pelancaran logo program Local Agenda 21 MDB.

Program Local Agenda 21 merupakan pelan tindakan global atau rangka tindakan yang menekankan konsep perkongsian antara pihak berkuasa tempatan (PBT), masyarakat dan sektor swasta.

Chor turut melawat pasar pekan Kupang yang dibina dengan kos RM3,531,500 dengan sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM321,500.- BERNAMA

Artikel Lain