suria

Ajaran Syiah: Jabatan Pengajian Tinggi Arah Sedia Laporan

PASIR PUTEH: Jabatan Pengajian Tinggi diarah menyediakan laporan segera berhubung dakwaan ada warga dan pensyarah di kampus Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang terbabit dengan ajaran Syiah.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata jabatan itu sedang mengumpul data dan maklumat mengenai perkara itu untuk dibincangkan bagi menanganinya secepat mungkin.

"Kita akan bincangkan tetapi tidak membabitkan perbezaan mazhab, ia hanya mengikut kesesuaian dan aktiviti yang menimbulkan masalah," katanya kepada pemberita pada majlis cakna mahasiswa IPT Kelantan 2010 di Sekolah Kebangsaan Danan, Sabtu.

Seramai 70 peserta dari pelbagai IPT dan 35 penduduk Kampung Danan mengambil bahagian dalam acara yang diadakan selama tiga hari itu.

Saifuddin diminta mengulas serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di markas ajaran Syiah yang dikesan bergerak aktif di Malaysia sejak akhir-akhir ini.

Dalam serbuan itu, JAIS menahan 200 pengikut dan dua ketua kumpulan ajaran itu di sebuah rumah kedai di Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor pada Khamis lepas.

Saifuddin berkata jika seseorang itu didapati bersalah, pihak kementerian akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menjaga ketenteraman kampus yang kini masih dalam keadaan terkawal.

Beliau juga berkata mulai tahun depan, pihaknya akan mengurangkan masalah birokrasi di kalangan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang boleh membataskan aktiviti kokurikulum pelajar.

Katanya, walaupun Akta Universiti dan Kolej telah dipinda bagi mewujudkan ruang lebih terbuka kepada pelajar untuk memperbanyakkan aktiviti di luar kampus, masih terdapat IPTA yang mengamalkan peraturan lapuk itu.

"Adakalanya mereka diminta menyediakan kertas kerja yang membebankan, yang sepatutnya dipermudahkan," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

WikiLeaks: DAP Nafi Jadi Dalang

Artikel Berikut

ADUN Tenang Meninggal Dunia

Artikel Lain