suria

Remaja OKU Yang Dipotong, Mati Kerana Radang Paru-Paru, Kata Polis

KUALA LUMPUR: Punca kematian remaja wanita Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mayatnya dipotong dan disumbat dalam dua buah beg yang dijumpai Sabtu lepas di Gohtong Jaya, Genting Highlands disebabkan penyakit radang paru-paru.

Ketua Polis Daerah Bentong Supritendan Rosli Abdul Rahman berkata ia merupakan hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTTA) Kuantan, Pahang petang semalam.

" Kita masih menyiasat punca lain memandangkan mayat ditemui dalam keadaan anggota badannya dipotong. Kita juga masih mencari kaitan kenapa mayat dipotong dan diperlakukan sebegitu," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Mayat remaja itu ditemui di kawasan gaung berhampiran tokong Cina di Gohtong Jaya, Genting Highlands oleh pemburu cicak Gecko dalam dua buah beg, satu beg berisi tangan kanan dan kaki kiri mangsa, dan beg kedua mengandungi kepala dan badan mangsa.

Polis percaya terdapat satu lagi beg yang mengandungi anggota kaki kanan dan tangan kiri mangsa yang belum ditemui.

Rosli bagaimanapun enggan mendedahkan mengenai cara pembunuhan itu dilakukan, termasuk cara mana mangsa ditetak ataupun dipotong.

Katanya, siasatan kini turut dibantu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang bagi mengesan identiti sebenar mangsa.

"Walaupun identiti fizikal mangsa telah dikenalpasti namun identiti sebenar mangsa masih belum dapat dipastikan," katanya.

Sebelum ini dilaporkan, kepala remaja itu didapati bersaiz lebih besar dari biasa manakala tangan kanan pula kecil dari biasa selain berambut kerinting.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Senior Asisten Komisioner (SAC) T. Narenasagaran bagaimanapun tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan perkembangan kes ini, juga menemui jalan buntu termasuk bagi mendapatkan lakaran gambar mangsa untuk diedarkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Sah Presiden Baru Kita

Artikel Berikut

Artikel Lain