suria

350 Kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri P. Pinang Bakal Ditamat Kontrak

GEORGE TOWN: Seramai 350 pekerja Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang yang berstatus kontrak bakal ditamatkan perkhidmatan mereka akhir tahun ini, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Othman.

Beliau berkata ada di antara pekerja tersebut yang sudah berkhidmat melebihi 15 tahun.

Keadaan ini turut bakal dihadapi kira-kira 2,000 pekerja Am Rendah di seluruh negara, katanya.

Sehubungan itu Cuepacs mengharap jasa baik kerajaan negeri, Jabatan Pelajaran Negeri serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran untuk membantu menyelesaikan masalah berkenaan.

"Sekiranya tidak dapat diserapkan menjadi pekerja tetap sekalipun, sekurang-kurangnya pekerja-pekerja ini dapat dibantu dengan melanjutkan perkhidmatan mereka sehingga umur 58 tahun biarpun berstatus kontrak, ataupun memberi pampasan setimpal kepada mereka yang diberhentikan agar tidak mendatangkan pelbagai masalah kepada mereka kelak," katanya.

Beliau menghadiri seminar bertajuk Transformasi Penjawat Awam Ke Arah Negara Maju, di sini Isnin.

Omar berkata Ceupacs berharap agar ia turut dipanggil menyertai perbincangan ke arah memperkenalkan sistem baru untuk menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dijangka dikemukakan Julai tahun depan.

Cuepacs berharap sistem penilaian prestasi penjawat awam yang baru itu akan lebih baik serta memberi lebih kesamaan kepada penjawat awam dari segi kenaikan pangkat dan sebagainya.

Kerajaan dalam pembentangan bajet Oktober mengumumkan pemansuhan PTK selepas lapan tahun dilaksanakan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain