suria

Penulis Bebas Didakwa Tipu Ahli Perniagaan RM144,000

KUALA LUMPUR: Seorang penulis bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan menipu seorang ahli perniagaan membabitkan wang berjumlah RM144,000 pada tahun lepas.

Mohamed Fareq Abdul Rahman, 35, dari Taman Setapak, di sini didakwa menipu Ong Eng Huat, 45, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa dua surat tawaran pelantikan sebagai wakil penjual stesen minyak Petronas adalah benar sehingga mendorong Ong menyerahkan wang RM144,000 kepadanya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Coffee Bean, Mid Valley, Brickfields, pada Disember 2009.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat, dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Ahmad Po'ad menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh kerana nilai kerugian yang dialami pengadu adalah tinggi.

Mohamed Fareq, yang tidak diwakili peguam merayu supaya jaminan itu dikurangkan kepada RM20,000 kerana pendapatannya tidak menentu.

"Saya hanya penulis bebas yang bekerja di rumah dan pendapatan saya tidak menentu antara RM1,000 ke RM2,000 sebulan. Saya juga merupakan penanggung tunggal keluarga.

"Bapa (saya) adalah seorang penghidap sakit jantung dan sanggup mengeluarkan semua duit simpanannya untuk menjamin saya dan ini merupakan kesalahan pertama saya," katanya.

Hakim Azizah Mahamud membenarkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh dan menetapkan 15 Disember ini untuk tertuduh melantik peguam dan penyerahan dokumen.

Bapa tertuduh turut hadir pada prosiding hari ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain