Polis Tahan Tiga Lelaki Disyaki Curi Kereta Mewah Di Kajang, Seri Kembangan

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan curi kereta mewah di sekitar Seri Kembangan dan Kajang sejak tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abdul Razak Elias berkata, lelaki pertama yang berumur 30 tahun ditahan di kawasan Bukit Bintang di sini pada pukul 7 pagi Ahad lepas bersama dengan Mitsubisihi Lancer yang baru dicurinya dua jam sebelum itu di Seri Kembangan, Serdang.

"Suspek yang bekerja sebagai penarik kereta itu kemudian membawa polis ke sebuah kawasan di Kuchai Lama, di mana polis menemui sebuah kenderaan Alphard berwarna putih yang dilaporkan hilang tahun lepas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah di kawasan yang sama, di mana polis menahan dua penganggur yang berumur 30 dan 40 tahun yang dipercayai rakan penarik kereta itu.

Beliau berkata, modus operandi mereka adalah dengan memecah masuk rumah yang mempunyai kereta mewah sebelum mencuri kunci kereta dan melarikannya, dan menurutnya dengan penahanan tiga suspek itu, polis percaya dapat menyelesaikan empat kes curi kenderaan mewah.

Abdul Razak berkata, mereka kini ditahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaaan kerana pecah rumah dan 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain