suria

Bantahan Awal Jabatan Peguam Negara Didengar 5 Januari

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini Selasa, menetapkan 5 Januari depan untuk mendengar bantahan awal oleh Jabatan Peguam Negara di dalam semakan kehakiman yang difailkan oleh Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj.

Dr Michael daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) memfailkan semakan itu bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa peruntukan khas kawasan Parlimen mesti dibekalkan dan disediakan kepada semua ahli Parlimen secara saksama.

Selaku pemohon, Michael menamakan Ketua Pengarah bagi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri, Pengarah Pejabat Pembangunan Perak dan Kerajaan Malaysia sebagai responden-responden.

Peguam Ambiga Sreenevasan yang mewakili Michael memberitahu, tarikh tersebut ditetapkan untuk memberikan masa kepada pemohon untuk menjawab permohonan bantahan awal tersebut, yang akan didengar di hadapan Hakim Datuk Aziah Ali.

Pada prosiding Selasa, responden-responden diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan.

Michael memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaram bagi semakan kehakiman tersebut pada 29 Oktober lalu.

Beliau yang juga seorang pakar jantung antara lain menuntut writ quo warranto (permohonan yang mencabar kesahihan pelantikan perjawatan) dikeluarkan yang memerintahkan pihak responden untuk tunjuk sebab dan memberi maklumat mengenai kuasa mereka dalam menggunakan, meluluskan dan mengeluarkan dana daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.

Selain itu, pemohon menuntut perintah mandamus (bagi memaksa responden) menyatakan semua projek dan aktiviti bagi permohonan untuk mendapatkan dana daripada peruntukan khas di kawasan Parlimen Sungai Siput bagi tahun ini.

Pemohon juga menuntut perisytiharan bahawa peruntukan tersebut mesti dibekalkan secara saksama selaras dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam afidavit sokongan yang diikrarkan oleh pemohon, beliau mendakwa, terdapat maklumat yang bertentangan dengan responden yang mempunyai kuasa atau budi bicara untuk melulus dan mengeluarkan dana daripada peruntukan khas kawasan Parlimen.

Pemohon menyatakan bahawa alasan yang diberikan oleh responden untuk tidak mempertimbangkan atau menolak permohonan yang dikemukakan adalah palsu dan tidak betul serta suatu penyalahgunaan kuasa oleh mereka.

Di samping itu, pemohon menuntut ganti rugi punitif, keterlaluan dan teladan serta kos untuk dibayar oleh mereka kepada pemohon.

Artikel Sebelum

Artikel Lain