suria

Menteri Besar Perak Menang Saman RM100 Juta

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menang dalam kes saman terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung artikel berunsur fitnah yang disiarkan dalam akhbar rasmi mereka, Suara Keadilan.

Penolong Pendaftar Kanan, Noordura Mohamed Din pada Isnin menerima permohonan penghakiman Zambry terhadap empat defendan dalam tuntutan saman bernilai RM100 juta.

Peguam Dr Zambry, Firuz Hussein Ahmad Jamaluddin menyifatkan keputusan tersebut sebagai ‘judgement of liability’ kerana hakim mengambilkira tuntutan anak guamannya terhadap para defendan.

Ganti rugi tersebut akan ditaksir.

Pada 25 Februari lepas, Zambry telah memfailkan saman fitnah terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalannya, Dr Syed Husin Ali dan dua yang lain terhadap artikel yang disiarkan dalam akhbar bulanan PKR itu.

Dalam tuntutannya, Zambry berkata artikel yang disiarkan dalam akhbar Suara Keadilan edisi 29 Disember 2009 – 5 Januari 2010, bertajuk 'Zambry disyaki pengganas gagal masuk ke Amerika Syarikat' didakwa mengandungi perkataan berunsur fitnah yang palsu dan tidak berasas serta disiarkan dengan berniat jahat.

Zambry mendakwa perkataan berunsur fitnah itu telah menjejaskan serta melukakan perasaanya dengan begitu mendalam hingga mencemarkan reputasinya sebagai Menteri Besar Perak.

Dalam kenyataan pembelaannya, defendan mendakwa mereka telah menyiarkan satu artikel permohonan maaf bertajuk ‘Mohon Maaf Dr Zambry’ yang dicetak dalam akhbar Suara Keadilan edisi 30 Mac-5 April.

Artikel Lain