suria

Rais Saran Wujud Anugerah Pendekar Untuk Pesilat

KEPALA BATAS: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menyarankan supaya Anugerah Pendekar diwujudkan bagi memberi pengiktirafan kepada pesilat di peringkat nasional, negeri dan daerah.

Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada Kabinet dalam tempoh terdekat untuk dipertimbangkan.

"Kita akan wujudkan jawatankuasa penilai bagi memilih pesilat yang layak menerima anugerah itu," katanya kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan dan Penganugerahan Ulul Amri Keempat Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia di sini,Sabtu.

Beliau berkata penerima anugerah itu akan dinilai dari pelbagai aspek termasuk ketangkasan, kepahlawanan dan kekuatan rohani.

Rais berkata anugerah seumpama itu juga akan diberikan kepada anggota seni mempertahankan diri lain seperti judo dan taekwando.

Selain itu, katanya, kementerian komited untuk meneruskan kerjasama dengan persatuan silat di negara ini untuk memajukan seni mempertahankan diri itu.

"Usaha ini juga bagi menggalakkan orang Melayu memceburkan diri dalam silat kerana seni mempertahankan diri ini adalah seni yang unik," katanya.

Selain itu, beliau turut menggalakkan orang ramai menggunakan perkataan seperti pendekar, laksamana dan askar yang jarang digunakan ketika ini.

"Saya ingin seru golongan yang terlibat dalam persilatan ini dipanggil pendekar tanah air," katanya.

Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima Anugerah Ulul Amri keempat daripada persatuan silat berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain