suria

Usaha Merasional Kewujudan Pejabat Promosi Pendidikan Malaysia Di Luar Negara

DUBAI: Langkah-langkah sedang dimbil untuk merasional dan memaksimumkan kewujudan pejabat promosi pendidikan serta Jabatan Penuntut Malaysia di luar negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tan Sri Zulkefli A.Hassan berkata, ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memberikan kedudukan dan penjenamaan semula yang membabitkan promosi pendidikan Malaysia di luar negara.

Beliau juga membayangkan kemungkinan membuka pejabat pendidikan baru pada masa akan datang termasuk sebuah yang meliputi selatan Afrika sebagai usaha untuk menarik lebih ramai penuntut datang ke Malaysia.

"Pejabat kita di Dubai akan terus memainkan peranan penting kerana kita cuba menarik lebih ramai penuntut berkualiti dari luar negara termasuk dari Timur Tengah," katanya, Ahad.

Institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia telah mengambil masuk lebih 80,000 penuntut asing yang menyumbang kepada ribuan juta ringgit dalam ekonomi negara.

Kementerian itu mensasarkan untuk mengambil masuk 150,000 penuntut asing ke institusi berkenaan di Malaysia menjelang 2015.

Pegawai Kementerian Pengajian Tinggi yang mengendalikan promosi pendidikan Malaysia di Timur Tengah dan utara Afrika di sini Shushilil Azam Shuib sebelum ini berkata sasaran akan melebihi 35,000 penuntut dari Timur Tengah menuntut di universiti-universiti Malaysia pada akhir tahun ini.

Sementara itu Zulkefli baru-baru ini merasmikan pejabat pendidikan Malaysia yang baru di sini yang terletak bersebelahan dengan pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Mankhool.

Sebelum ini kedua-dua pejabat itu terletak di kawasan Oud Metha.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Duta Malaysia ke Emiriyah Arab bersatu (UAE) Datuk Yahaya Abdul Jabar, Konsul Jeneral di Dubai Ahmad Fadil Shamsuddin dan Shushilil.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain