suria

Penduduk Rayu Segera Baiki Jalan Kuala Krai-Kota Baru

KUALA KRAI: Terkandas dan terputus hubungan, antara risiko yang terpaksa dilalui oleh pengguna jalan Kuala Krai-Kota Baru dekat Sungai Durian, apabila tiba musim tengkujuh setiap tahun.

Dibimbangi situasi yang berpunca dari limpahan air sungai berkenaan itu berulang lagi tahun ini, rata-rata penduduk sekitar dan pengguna jalan raya yang ditemui merayu pihak berwajib memperbaiki segera struktur jalan memandangkan musim tengkujuh yang sudah bermula.

Seorang pengguna jalan raya, Mahmud Abdullah, 56, berkata: "Mana tak bimbang, tahun lepas anak saya satu keluarga dari Kuala Lumpur, terkandas di Kuala Krai sebab tak lepas nak balik ke kampung di Peringat, dekat Kota Baru.

"Kalau tahun ini macam itu lagi susahlah...cucu pun dah merungut penat tak nak balik kampung sebab perjalanan rasa jauh semata-mata sebab terkandas," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Beliau berkata pengguna jalan raya mengharapkan pihak berwajib mengambil tindakan segera sama ada dengan menyediakan jambatan sementara yang lebih tinggi atau inisiatif lain yang dirasakan sesuai.

Sementara itu seorang penduduk Kampung Sungai Durian, Alias Hassan, 45, berkata walaupun penduduk hampir 'kalis' dengan banjir yang menyebabkan mereka tidak mampu keluar jauh dari kediaman, namun mereka juga mengharapkan tindakan segera diambil bagi mengatasi permasalahan itu.

"Sebagai penduduk kampung yang terlibat, memang kita merayulah pihak bertangungjawab atau pihak kerajaan supaya bantu kita selesaikan masalah ini," katanya.

Selain itu katanya, struktur jalan yang rosak dan berlubang ekoran banjir tahun lalu juga sehingga kini belum dibaiki sehingga menyebabkan kesukaran kepada penduduk terutama yang menggunakan motosikal. - BERNAMA

Artikel Lain