suria

Pemilihan MPP PKR Diteruskan Walaupun Banyak Aduan Kepincangan Parti Dibuat

PETALING JAYA: Pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi tempoh 2010-2013 tetap diteruskan walaupun ada gesaan darpada kalangan anggota parti supaya ia ditangguh atau dibatalkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Molly Cheah berkata pemilihan itu tidak boleh dihentikan dengan begitu mudah semata-mata kerana ada pihak mendakwa berlaku kepincangan dalam sistem pemilihan.

"Orang kena faham, untuk membuat sesuatu keputusan ia perlu ambil masa, setiap aduan kita perlu teliti dahulu," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas memorandum Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub yang juga calon timbalan presiden pada Selasa lepas mendesak supaya pemilihan MPP parti itu segera dibatalkan kerana tidak telus.

Mustaffa Kamil yang juga Pengerusi PKR Perak berkata pembatalan dan perjalanan semula pemilihan di peringkat pusat adalah perlu kerana sehingga kini terdapat sebanyak 162 aduan telah dibuat terhadap kepincangan dan integriti JPP.

Berhubung aduan itu, Cheah berkata beliau telah meminta Mustaffa Kamil untuk memberikan lebih banyak maklumat berhubung perkara itu.

"Saya jangkakan dalam dua hari ini, isu yang dibangkitkan itu akan dapat diselesaikan. Sebab itulah pemilihan parti tetap diteruskan dan dalam masa yang sama kita teliti aduan itu," katanya.

Pemilihan MPP yang berlangsung pada 29 Okt lepas dan akan berakhir 21 Nov ini melibatkan sebanyak 218 cabang. Ia disusuli dengan Kongres Nasional Tahunan PKR selama tiga hari mulai 26 Nov depan, di Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain