suria

PROTON CADANG TAWAR KERETA HIBRID DI BAWAH RM100,000 - DR M

PETALING JAYA: Proton Holdings Bhd sedang meninjau untuk menawarkan kereta hibrid pertamanya pada harga kompetitif di bawah RM100,000, kata Penasihatnya Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Dijangka dilancarkan secara komersial tahun depan, Proton khabarnya sedang membangunkan enjin hibrid serta enjin elektrik dengan syarikat British Frazer-Nash Research, LG dari Korea Selatan dan anak syarikatnya yang berpangkalan di Britain - Lotus.

Dr Mahathir berkata, pembangunan kereta hibrid merupakan sebahagian daripada inisiatif Proton untuk beralih kepada teknologi hijau.

"Kami kini menghentikan reka bentuk dan dalam proses menambah baik prestasi kereta. Kami akan membuat pengumuman tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kereta edisi ulang tahun ke-25 Proton kepada sembilan pembeli pertama di sini, Selasa.

"Harga kereta hibrid akan tinggi sedikit berbanding kereta biasa kerana bateri amat mahal. Bagi pengeluar kereta terkenal, kereta hibrid, akan tiga kali lebih tinggi daripada kereta biasa.

"Kereta kita, saya rasa di bawah RM100,000," kata beliau.

Beliau berkata, Proton akan menampilkan tiga kereta hibridnya untuk penyertaan perlumbaan di Britain pada 6 November ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, syarikat akan menguji kira-kira 50 kenderaan hibrid untuk kegunaan kerajaan sebelum pelancaran pengeluaran secara besar-besaran.

Sebelum itu beliau berkata, syarikat mengeluarkan Exora versi hibrid di Britain bagi tujuan ujian dan penyelidikan.

Kenderaan dengan teknologi hibrid bermakna ia mempunyai dua sumber tenaga iaitu petrol dan elektrik. Hibrid hari ini menggabungkan enjin petrol dengan satu atau lebih motor elektrik.

Hibrid elektrik sepenuhnya terdiri daripada enjin caj semula bateri ion litium yang sebaliknya memberi kuasa motor elektrik yang membolehkan pemacuan kereta.

Semalam Honda Malaysia mengumumkan pelanggannya boleh membeli kereta Civic Hibrid pada harga RM108,980 (harga atas jalan) di Semenanjung dan RM109,980 di Malaysia Timur, kurang RM21,000 berbanding Honda Civic sekarang ini.

Minggu lepas, UMW Toyota Motor turut menurunkan harga atas jalan Toyota Prius dengan insurans di Semenanjung Malaysia kepada RM139,900 daripada RM175,000. Harga di Sabah dan Sarawak kira-kira RM141,500 berikutan kos logistik yang tinggi.

Ini seiring dengan keputusan kerajaan untuk melanjutkan insentif cukai bagi kenderaan hibrid sehingga 31 Disember 2011.

Artikel Lain