suria

Puad Cadang Parlimen Bincang Kemalangan Bas

BUKIT KAYU HITAM: Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mencadangkan dibuat usul tergempar di Parlimen bagi membincangkan isu beberapa kemalangan bas penumpang yang mengorbankan sebilangan nyawa akhir-akhir ini.

Beliau berkata Parlimen perlu membincangkan tindakan sewajarnya terhadap pemandu kenderaan yang memandu laju dan berbahaya. Kita tidak mahu pemandu seumpama itu dikenakan hukuman ringan dan tidak setimpal dengan apa yang berlaku.

"Jangan ambil mudah perkara ini, saya sangat setuju jika perkara ini dijadikan usul tergempar di Parlimen supaya kita tidak 'hangat-hangat tahi ayam'...tetapi tindakan yang dikenakan tidak adil," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penutup Hari Kebudayaan Bahasa Antarabangsa (Cina dan Jerman) Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan 2010 di SBP Integrasi Kubang Pasu di sini, Ahad.

Beliau mengulas tragedi yang menimpa rombongan Belia 4B dari Baling, Kedah yang terlibat dengan kemalangan di Genting Sempah, Kuala Lumpur Jumaat lalu yang mengorbankan enam pelajar sekolah dan seorang guru agama.

Dalam perkembangan lain, Puad berkata kementeriannya akan memperhebat promosi bagi menggalakkan lebih ramai pelajar di SBP mengambil subjek bahasa antarabangsa.

"Kita berharap agar minat pelajar-pelajar ini akan meningkat dengan adanya usaha-usaha seperti sambutan hari kebudayaan bahasa-bahasa antarabangsa seperti hari ini," katanya.

Beliau berkata sebanyak lima bahasa antarabangsa diperkenalkan di 59 buah SBP iaitu Mandarin, Jerman, Arab, Jepun dan Perancis.

"Dengan cabaran global kini penguasaan bahasa asing adalah amat penting terutamanya untuk meningkatkan motivasi dan keyakinan diri pelajar," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain