suria

PAS Pertahan Habuan RM250

GUA MUSANG: PAS mempertahankan tindakan menawar habuan sehingga RM250 kepada 1,557 pengundi luar yang berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan menyifatkan perbuatan itu sebagai amalan biasa bagi mana-mana parti politik termasuk Barisan Nasional (BN).

Penasihat Jentera Pilihan Raya PAS bagi DUN Galas, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, tawaran habuan berkenaan bukan sesuatu yang pelik malah tidak kisah jika pengundi mahu mendapatkan habuan berkenaan daripada PAS dan juga BN.

"Perkara ini bukan baru kerana ia sudah menjadi amalan PAS sepanjang pilihan raya kecil dan pilihan raya umum dan ia juga tidak menjadi satu perkara pelik.

"Dan tidak ada sebarang sekatan kepada pengundi yang datang untuk mendapatkan daripada pihak kami, malah tidak menjadi syarat kami untuk sekat mereka untuk pergi kepada Umno dan MCA, kalau mereka pandai boleh dapat daripada tiga pihak iaitu PAS, Umno dan MCA," katanya di sini, Ahad.

Bagaimanapun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata habuan itu merupakan perbuatan sogokan dan menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana pemberian wang berkenaan boleh disifatkan sebagai pemberian sogokan bagi tujuan membeli undi.

Namun tegasnya pemberian wang berkenaan sekadar saguhati bagi memudahkan perjalanan pengundi untuk pulang ke Galas bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi berdaftar.

Ditanya sama ada PAS mengharapkan sokongan pengundi luar bagi memastikan kemenangan, Wan Abdul Rahim berkata: "Sudah menjadi tradisi PAS memang memberi tumpuan kepada pengundi luar kerana kebiasaannya pengundi luar adalah orang muda.

"Mereka ini faham dan mendapat banyak maklumat mengenai isu-isu semasa... jadi ciri-ciri ini lebih banyak memihak kepada PAS berbanding BN."

Artikel Lain