suria

PBB Hargai Inisiatif Ketengahkan Isu Kanak-Kanak, Wanita

HANOI: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bangga dan berterima kasih atas inisiatif yang dimainkan Malaysia dalam mengetengahkan isu serta masalah melibatkan kanak-kanak, remaja dan wanita di seluruh dunia.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon selepas beliau menerima deklarasi Sidang Kemuncak Wanita-Wanita Pertama 2010.

"Ban menyatakan kepada saya, beliau akan membaca apa (deklarasi) yang telah kita berikan dan beliau akan membuat rumusan dan jika perlu, beliau (menerusi PBB) akan mengadakan sesuatu sidang kemuncak di mana semua wanita pertama akan dijemput menghadirinya," kata beliau.

Rosmah, yang mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri Sidang Kemuncak Asean Ke-17 dan Sidang-Sidang Berkaitan di sini, berkata demikian kepada pemberita Malaysia selepas menyerahkan deklarasi tersebut kepada Ban pada Sabtu.

Seramai 15 Wanita Pertama dan enam wakil Wanita Pertama serta 20 menteri hadir pada Sidang Kemuncak Wanita-Wanita Pertama 2010, yang diadakan di Kuala Lumpur bulan lepas, yang bertemakan "Kanak-kanak Hari Ini, Pemimpin Hari Esok."

Rosmah berpendapat deklarasi itu amat mustahak kerana di dalamnya terkandung "suara kanak-kanak dan remaja di seluruh dunia yang merasakan sesuatu perlu dibuat dan diselesaikan sebelum dunia ini diserahkan kepada mereka sebagai pemimpin kelak".

"Wanita-wanita pertama merasakan tidak seharusnya pemimpin generasi akan datang mewarisi masalah yang ada sekarang sehingga membebankan mereka.

"Ban juga bersetuju generasi akan datang perlu mewarisi dunia ini dengan lebih stabil dan aman, dengan udara yang bersih, tiada peperangan dan pergaduhan. Dengan penyerahan deklarasi ini, yang penting tanggungjawab saya sudah saya lakukan," katanya.

Rosmah berkata dalam pertemuan itu juga, Ban menyatakan bahawa PBB memang mengambil berat tentang isu-isu yang membabitkan kanak-kanak, remaja dan wanita di seluruh dunia.

Katanya, beliau juga menyuarakan kepada Ban bahawa wanita-wanita pertama turut ingin memainkan peranan mereka membantu meringankan beban PBB, yang membelanjakan sejumlah wang yang besar, dalam menyelesaikan isu-isu melibatkan golongan berkenaan termasuk dalam bidang pendidikan dan akibat bencana alam.

"Saya nyatakan kepada Ban, apabila wanita-wanita pertama ini balik ke negara masing-masing, mereka dengan penuh iltizam akan selesaikan masalah di negara mereka.

"Kami (wanita-wanita pertama) berpendapat tidak semua masalah diserahkan kepada PBB untuk diselesaikan kerana seharusnya masalah-masalah yang ada (di negara masing-masing), kita akan selesaikan," katanya.

Persidangan Wanita-Wanita Pertama 2010 yang diadakan hasil inisiatif Rosmah, memberi fokus terhadap kerjasama oleh keluarga, masyarakat dan kerajaan untuk mencungkil potensi setiap kanak-kanak. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain