suria

Serang Balas Pembangkang Dengan Agresif - Wakil Terengganu

KUALA LUMPUR: Umno perlu agresif dengan membuat serangan balas kepada pembangkang bagi menangkis tohmahan dan persepsi negatif yang dilemparkan terhadap parti itu.

Perwakilan Terengganu, Saiful Bahri Baharuddin berkata, kaedah menyerang adalah pendekatan terbaik dalam peperangan propaganda yang dicetuskan pembangkang.

"Menyerang adalah cara terbaik untuk bertahan, pembangkang menyerang kita dengan membina persepsi bahawa Umno parti yang jahat dan dikatakan menjadi punca kepada semua permasalahan.

"Sampai bila kita perlu ambil pendekatan berhemah dan bersopan santun. Umno harus mengambil pendekatan menyerang dan agresif ke atas parti pembangkang terutama DAP yang anti Islam," katanya semasa perbahasan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno ke-61 di sini, Khamis.

Saiful Bahri berkata, pembangkang menggunakan kaedah psikologi dengan meracuni fikiran rakyat bahawa Umno merupakan punca kepada setiap masalah yang berlaku dalam negara.

"PKR kucar-kacir dikatakan Umno punya kerja, bila rakyat bantah kenaikan tarif air di Kedah, dikatakan juga Umno menjadi punca.

"Malah bila berlaku banjir kilat, longkang tersumbat, pokok tumbang, kemalangan kereta pun Umno juga dituduh punya angkara. Kita bukan sahaja dianggap jahat malah turut dianggap rasis," katanya.

Katanya lagi, parti itu kini berhadapan dengan cabaran persepsi terutamanya berkaitan dengan soal mempertahankan hak orang Melayu.

"Kita sebenarnya berada dalam peperangan membentuk persepsi, namun kita jangan terperangkap dengan propaganda ini hanya kerana kita mempertahankan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

"Kita jangan terkeliru dengan kekeliruan ini hanya kerana ingin mempertahankan agama Islam. Umno tidak boleh mengharapkan orang lain untuk mempertahankan Perlembagaan," katanya.

Tegas beliau Umno perlu menjuarai dalam isu-isu penting terutamanya yang berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Khasnya yang menyentuh mengenai kedudukan Islam dan hak orang Melayu dan bumiputera. Umno bukan rasis dalam mepertahankan Perlembagaan.

"Perjuangan mempertahankan Perlembagaan adalah perjuangan agenda Melayu yang telah diusahan Umno sejak dahulu lagi," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain