Masyarakat Siam Berterima Kasih Kepada PM - Semasa | mStar

Masyarakat Siam Berterima Kasih Kepada PM

KUALA LUMPUR: Masyarakat Siam di Malaysia berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mengiktiraf mereka sebagai sebahagian daripada bangsa Malaysia.

Anggota Jawatankuasa Persatuan Siam Malaysia Boonsom Suwanmanee berkata pihaknya terharu apabila Najib, dalam ucapan dasar ketika merasmikan Perhimpunan Agung Umno semalam menyebut masyarakat Siam sebagai bersama dalam serumpun Kadazan, Bidayuh, India Muslim, Melanau dan berpuluh suku kaum lain.

Beliau berkata ucapan Presiden Umno itu selari dengan jaminan beliau ketika berucap di Wat Machimaram Tumpat Kelantan pada 10 Jun lepas bahawa sebagai penyokong kuat Barisan Nasional (BN) masyarakat Siam tidak perlu khuatir kerana kerajaan akan sentiasa membantu mereka dalam pelbagai bidang. "Harapan saya selepas ini masyarakat Siam juga dapat menikmati taraf Bumiputera sebaik mungkin demi kepentingan negara di samping mempertingkatan taraf pendidikan dan sosio-ekonomi," katanya dalam satu kenyataan, Jumaat.

Boonsom berkata ketika era kepimpinan Tun Mahathir Mohamad juga banyak kemudahan serta bantuan telah disalurkan kepada masyarakat Siam di Malaysia.

"Tun (Mahathir) berasal dari Kedah dan beliau tahu sebenarnya masyarakat Siam adalah kaum Bumiputera," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Maut Berebut Alat Kawalan Jauh Dengan Adik

Artikel Berkaitan

default image

Syarat Kemasukan UiTM Diperketat

default image

Najib Tetap Jalankan Tugas Walaupun Sakit

Lebih Artikel