suria

EAGA Sedia Jadi Pengeluar Makanan Serantau

KOTA KINABALU: Konsep makanan serantau bagi Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) bakal dimuktamadkan tidak lama lagi. Pada Mesyuarat Menteri-menteri dan Pegawai Kanan BIMP-EAGA Ke-15 yang berlangsung baru-baru ini di Kuching, Sarawak, menteri empat negara perkumpulan itu yang menandatangani perjanjian berkenaan, bersetuju untuk memperkukuhkan lagi usaha untuk mengubah BIMP-EAGA menjadi pembekal makanan serantau dan destinasi eko-pelancongan di Asia.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Ekonomi Mindanao (MinDA), di sini, Jumaat, mereka bersetuju untuk merumuskan perlaksanaan rangka kerja tindakan komprehensif bagi BIMP-EAGA itu.

"Ini sebagai panduan pada pencapaian yang tepat dan efektif bagi matlamat untuk mengubah sub rantau ini menjadi pembekal makanan serantau dan destinasi utama eko-pelancongan bagi ASEAN dan keseluruhan Asia," katanya.

Berasaskan terutamanya pada rangka kerja Jaminan Makanan Bersepadu ASEAN (AIFS), konsep pembekal makanan itu merupakan kerangka dasar BIMP-EAGA bagi pembangunan berterusan sektor industri pertanian dan perikanan.

Matlamatnya ialah untuk mencapai pembangunan berterusan dan integrasi ekonomi sektor industri pertanian dan perikanan untuk memastikan jaminan makanan, kehidupan pencarian mampan bagi orang ramai dan membasmi kemiskinan dalam BIMP-EAGA. Konsep pembekal makanan itu akan dimuktamad dan dibincangkan pada Mesyuarat Menteri-menteri Pertanian dan Perikanan BIMP-EAGA pada bulan depan di Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia.

Keempat-empat negara itu juga perlu mengenal pasti produk "utama" pertanian-perikanan yang boleh dibangunkan bersama-sama, di mana EAGA boleh menggabungkan sumber masing-masing dan mengguna pakai satu skim pengeluaran, di mana setiap negara akan menyumbang kepada proses pembangunan keseluruhannya.

Pembangunan potensi EAGA sebagai rantau bekalan makanan menerusi strategi inovatif dan kerjasama kukuh merupakan hala tuju utama pada Sidang Kemuncak Pemimpin BIMP-EAGA Ke-6 pada Disember lepas.

Golongan berkepentingan dari swasta dan kerajaan di sub rantau itu telah mula meningkatkan usaha dan kerjasama dalam menggubal rangka konsep itu bagi strategi pembekal makanan bagi BIMP-EAGA.

"Filipina ingin menegaskan tugas utama kluster Pembangunan Sumber Asli (NRD) perlu dilaksanakan, bagi mencapai objektif pembangunan BIMP-EAGA sebagai pembekal makanan Asia," kata Setiausaha Luwalhati Antonino, pengerusi MinDA dan Menteri Perwakilan Filipina bagi BIMP-EAGA.

Menerusi struktur BIMP-EAGA itu, Kluster NRD mengetuai kumpulan merumuskan strategi dan meneroka cara inovatif untuk meningkatkan daya saing sektor pertanian BIMP-EAGA dan juga potensi sub rantau itu sebagai pembekal makanan serantau. Antonino berkata konsep kumpulan makanan itu merupakan jentera ujian perintis inisiatif keselamatan makanan ASEAN di BIMP-EAGA, khususnya di Mindanao, pembekal makanan utama negara itu.

Menurut Pelan Rangka Kerja Keamanan dan Pembangunan Mindanao 2020, jaminan makanan tetap menjadi cabaran bagi Mindanao, dengan pengeluaran beras kurang daripada jumlah keperluan.

Menurut pelan itu, Mindanao perlu mengimbangkan eksport pertanian dan permintaan bagi jaminan makanan sepanjang tempoh yang lama itu.

Menangani pelbagai halangan dasar, peningkatan bajet, pembangunan infrastruktur dan juga peningkatan produktiviti petani adalah antara strategi utama yang dikenal pasti dalam pelan itu untuk memaksimumkan produktiviti pertanian dan menangani jaminan makanan Mindanao.

Mindanao 2020 juga menyarankan Mindanao untuk mengintegrasikan lagi ekonominya dalam ekonomi Rantau Asia Tenggara yang lebih besar.

Ini perlu dibuat menerusi pengukuhan rangkaian nilai yang menghubungkan ekonomi tempatannya dengan negara, rantau dan pasaran antarabangsa yang lebih besar, terutama negara kerjasama EAGA, keseluruhan Asia dan Timur Tengah.

Sebagai kesinambungan Pelan Rangka Kerja Pembangunan Mindanao 2020 yang dibangunkan pada 1995, Mindanao 2020 menyediakan hala tuju strategik dan rangka kerja bagi keamamanan dan pembangunan Mindano selama 20 tahun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain