suria

Tiada Pas Rasmi: Wartawan Malaysiakini, The Malaysian Insider Diarah Keluar Dari Pusat Media PWTC

KUALA LUMPUR: Wakil media daripada dua portal berita iaitu Malaysiakini dan The Malaysian Insider diarah supaya meninggalkan pusat media yang disediakan sempena Perhimpunan Agung Umno 2010.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengarahkan urusetia perhimpunan membuat pemeriksaan di bilik media bagi memastikan hanya wakil media yang mempunyai kad media rasmi Umno layak menggunakan kemudahan yang disediakan.

Menerusi pemeriksaan yang dilakukan kira-kira pukul 12.40 tengah hari pada Rabu mendapati sembilan wartawan Malaysiakini dan sebilangan wartawan Malaysian Insider tidak mempunyai pas rasmi Perhimpunan Agung Umno.

Difahamkan ini adalah kali pertama Umno mengambil tindakan menghalang kumpulan media alternatif itu daripada menggunakan kemudahan bilik media.

Umno mengeluarkan kad media rasmi kepada wartawan dan jurugambar bagi memudahkan wakil media membuat liputan sepanjang Perhimpunan Agung Umno yang akan berakhir Sabtu ini.

Sementara itu, Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abd Rauf Yusoh ketika dihubungi mengesahkan arahan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kumpulan media berkenaan masih boleh membuat liputan sempena Perhimpunan Agung Umno di ruang legar awam Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

"Jika mereka terus nak buat liputan, mereka boleh berbuat demikian.

"Mereka boleh gunakan ruang legar awam... tak ada masalah," katanya.

Artikel Lain