suria

Khairy Ditegur Supaya Lebih Fokus

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin ditegur supaya lebih fokus dan komited dalam usaha memulihkan struktur sayap Umno di semua peringkat khususnya di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang.

Perwakilan Kedah, Basorri Abu Hassan berkata, selepas pemilihan parti yang lalu, Khairy dilihat gagal melaksanakan tugasnya terutama bagi menyatukan ahli sayap parti itu.

Sambil melahirkan rasa kesal terhadap komitmen yang ditunjukkan 'bosnya', Basorri menggesa agar beliau mengotakan janji-janjinya untuk sentiasa turun meninjau perkembangan peringkat akar umbi.

"Dalam kempen dulu, YB Khairy minta supaya beri peluang kepadanya untuk duduki kerusi Ketua Pemuda agar dapat sama-sama rampas kembali Kedah daripada pembangkang.

"Tapi itu semua dulu, selepas pemilihan baru dua kali dia turun ke Kedah. Mana janji untuk perkasakan Pemuda Kedah? Yang kita nampak dia buat hanya asyik bergaduh dengan Perkasa," katanya sambil disambut dengan sokongan para Perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Pemuda Umno di sini, Rabu.

Selain itu, Basorri yang juga Ketua Pemuda Umno Jerai turut menggesa agar semua Exco Pemuda Umno Pusat memberi tumpuan kepada usaha memantapkan parti khususnya di peringkat akar umbi.

Basorri dalam ucapannya turut menyampaikan beberapa rangkap pantun kepada barisan Exco Pemuda.

Kepada exco:

Barisan exco yang bijak laksana,

Janganlah duduk saja nanti dituduh asyik dok lena,

Yang buat kerja Allah akan menilainya,

Yang tak buat kerja tunggulah balasan-Nya di akhirat sana.

Kepada Ketua Penerangan:

Dulu Datuk sekarang Datuk Seri,

Nadi utama penggerak parti,

Ketua Penerangan lebihkanlah berfungsi,

Jangan duduk saja di kerusi turunlah bersama kami.

Kepada Bendahari:

Datuk bendahari teman sejati,

Konon-kononnya orang kuat YB Khairy,

Banyak berjanji tapi satu pun tak ditepati,

Kami di bawah ini ternanti-nanti.

Kepada Setiausaha:

Yang berbahagia Datuk setia dan usaha,

Wajah berseri seiras bapanya,

Kepada Datuk teruskan agenda,

Gerak kerja Pemuda di bahu anda.

Kepada Naib Ketua:

YB Datuk satu-satunya Timbalan Menteri,

Harapan Pemuda pemecah tradisi,

Teruskanlah kerja bagi nampak serasi,

Agar Pemuda lebih dihormati.

Ketua Pemuda:

YB Ketua Pemuda yang banyak kontroversi,

Tak usah risau tak jadi timbalan atau menteri,

Perjuangan kita perlukan komitmen tinggi,

Usahakanlah sesuatu yang realiti untuk memperkasakan parti.

Artikel Lain