suria

Umno Bukan Parti Untuk Melayu Ekstrem

KUALA LUMPUR: Umno merupakan sebuah parti yang inklusif dan bukan lagi memperjuangkan hak kemelayuan yang ekstrem.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menegaskan, perkara tersebut merupakan satu perubahan yang signifikan dan momentum itu perlu diteruskan kerana Umno akan terus membela nasib semua tanpa meminggirkan mana-mana kaum di negara ini.

“Peranan yang dimainkan oleh Umno pada hari ini adalah menggalakkan orang Melayu berjaya bukannya bersikap defensif dan hanya mempertahankan hak serta keistimewaan mereka sahaja.

“Hanya dengan kerja keras dan usaha yang bersungguh-sungguh sahaja akan membuatkan kita akan berjaya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Pemuda Umno di Seri Pacific pada Selasa.

Bagi mencapai matlamat itu, Khairy berkata Umno perlu memastikan orang Melayu maju dalam bidang ekonomi dengan menggunakan pendekatan baru tanpa mengetepikan kepentingan mana-mana kaum di negara ini. “Perhimpunan Agung kali ini adalah bagi menunjukkan kepada masyarakat bahawa Umno masih lagi sebuah parti yang dominan dalam memperjuangkan hak dan nasib orang Melayu di negara ini.

“Tiada siapa boleh menolak hakikat bahawa Umno adalah sebuah parti yang memperjuangkan agenda orang Melayu.

“Kita mahu tunjukkan kepada masyarakat bahawa kita membawa agenda baru bagi orang Melayu tanpa mengetepikan objektif utama penubuhan Umno,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata dua pilihan raya kecil yang akan berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Parlimen Batu Sapi yang akan berlangsung serentak pada 4 November depan juga tidak akan menenggelamkan isu-isu yang akan dibawa oleh perwakilan pada perhimpunan agung kali ini.

“Pilihan raya kecil itu akan berlangsung selepas Perhimpunan Agung Umno, sudah pasti isunya akan dibangkitkan namun apa yang lebih penting adalah usaha kita memperkuatkan hubungan dan semangat bagi memupuk perpaduan dikalangan ahli parti,” katanya.

Mengenai isu-isu yang akan dibangkitkan oleh Perwakilan Pemuda pada perhimpunan agung kali ini, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata:

“Kita mahu perwakilan Pemuda kali ini membangkitkan isu-isu rakyat terutamanya di negeri-negeri pembangkang dengan menumpukan kepada soal kepincangan kepimpinan dan pentadbiran di sana.”

“Kita juga mahu mereka mengetengahkan cara bagaimana untuk memperkukuhkan lagi perpaduan dikalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum,” katanya.

Beliau berkata apa yang merisaukannya adalah bagi memastikan segala pembaharuan yang di bawa oleh Umno dan BN dapat difahami oleh pengundi muda.

“Ada pengundi muda yang melihat Umno dan BN belum berubah, oleh sebab itu kita perlu pastikan perubahan yang telah kita buat sampai kepada golongan sasar dan akar umbi,” katanya.

Seramai 797 perwakilan dijangka hadir pada Perhimpunan Agung Umno ke-61 kali ini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain