suria

Wujud Konspirasi Bekas Isteri Untuk Jatuhkan Saya - Ameng

KUALA LUMPUR: Penyanyi kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng hari ini memberitahu Mahkamah Majistret bahawa terdapat konspirasi yang dibuat oleh bekas isteri dan suaminya berhubung kes dadah yang dihadapinya.

Ameng, 42, berkata konspirasi itu dibuat oleh bekas isteri iaitu Zaidah Awang atau lebih dikenali sebagai A. Aida bersama suaminya ASP Suffian Sulaiman bertujuan untuk merosakkan kerjayanya.

"Saya menganggap kejadian yang menimpa saya adalah satu konspirasi ataupun pakatan secara sengaja yang dibuat oleh A. Aida dan suaminya dengan tujuan untuk melihat saya menderita dan sekaligus untuk merosakkan kerjaya dan memburukan nama saya," katanya ketika membela diri pada prosiding perbicaraan kes itu.

Perkara itu timbul apabila peguam Kamarulzaman Abdul Rahman yang mewakili Ameng bertanyakan mengenai laporan yang dibuat oleh A. Aida pada 3 April lepas di Balai Polis Setapak di sini berhubung ugutan penyanyi itu terhadap bekas isterinya.

"Saya dihubungi oleh Inspektor Nor Zahirah dari Balai Polis Setapak pada 6 April lepas untuk hadir bagi memberi keterangan mengenai satu aduan yang dibuat oleh bekas isteri dan suaminya berhubung kes itu di balai polis berkenaan," katanya.

Ketika disoal Kamarulzaman apakah punca menyebabkan bekas isterinya itu membuat laporan di balai polis berkenaan, Ameng memberitahu A. Aida mendakwa dia telah mengugut berhubung penjagaan anak.

"Pada 3 April lepas, saya ada menghubungi bekas isteri melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk menjemput kedua-dua anak saya yang berada di dalam jagaannya sempena cuti sekolah untuk dibawa pulang ke kampung saya di Besut, Terengganu, tetapi A. Aida tidak membenarkan saya berbuat demikian dan tidak memberi keizinan untuk saya berjumpa dengan anak-anak saya.

"Pada keesokannya, saya sekali lagi dihubungi oleh ASP Suffian memberitahu sekiranya saya menghubungi isterinya dan mengganggu rumahtangganya termasuk mengambil tahu mengenai hal anak-anak saya, dia akan memasukkan saya ke dalam penjara," katanya.

Ketika disoal Kamarulzaman, apa perkembangan terkini mengenai kes ugutan tersebut, Ameng menjawab: "Saya masih tidak tahu mengenai kes ugutan itu sehingga ke hari ini dan tiada apa-apa tindakan yang diambil berhubung kes itu".

Ameng juga memberitahu mahkamah bahawa selepas dia membuat kenyataan berhubung kes ugutan itu, Inspektor Nor Zahirah memaklumkan kepadanya bahawa ujian saringan air kencing perlu dibuat terhadapnya atas arahan orang atasan iaitu ASP Suffian di Balai Polis Sentul, pada 6 petang.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias siapa yang membawanya ke Balai Polis Sentul untuk menjalani ujian saringan awal air kencing, Ameng menjawab empat anggota polis dari Balai Polis Setapak.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menetapkan 25 Okt depan untuk pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan bertulis masing-masing.

Pada 7 Sept lepas, Mahkamah Majistret memerintahkan Ameng membela diri atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya.

Dia yang dihadapkan ke mahkamah pada 12 Mei lepas, dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada 3.45 petang 2 April lalu.

Dia yang diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun. - BERNAMA

Artikel Lain