suria

Tiga Parti Setuju Sertai Rundingan Meja Bulat Anjuran Perkasa

ALOR SETAR: Cadangan Wira Perkasa Kedah agar Rundingan Meja Bulat diadakan antara pertubuhan itu, Pemuda Umno, Pas serta Angkatan Muda Keadilan bagi membincangkan isu yang menyebabkan perpecahan di kalangan masyarakat Melayu, mendapat maklum balas positif daripada ketiga-tiga parti politik berkenaan.

Ketuanya, Shaharol Niza Omar berkata ketiga-tiga sayap parti itu menunjukkan minat mendalam serta bersedia mengadakan pertemuan itu dalam masa terdekat, demi memperjuang dan mengukuhkan perpaduan orang Melayu.

"Mereka sudah menghubungi saya dan telah mengadakan perbincangan ringkas, mereka menunjukkan minat yang amat tinggi bagi membincangkan soal hala tuju perpaduan di kalangan orang Melayu yang semakin rapuh hari ini.

"Rundingan itu juga akan membolehkan kita bergerak sebagai satu bangsa, dan bukannya bertelingkah sesama sendiri disebabkan berlainan fahaman parti," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Cadangan itu diutarakan Wira Perkasa Kedah pada 26 September lepas.

Dalam perkembangan lain, pertubuhan itu bakal melancarkan Perkasa di seluruh daerah di Kedah pada 2 Oktober depan di Sekolah Menengah Ibrahim, Sungai Petani dan Yang Dipertua Perkasa Malaysia Datuk Ibrahim Ali dijadual merasmikannya.

Program itu dijangka menghimpunkan 12 pemimpin Perkasa di peringkat daerah serta anggota pertubuhan tersebut bagi membincangkan masalah dan hala tuju Perkasa Kedah, agar ia dapat bergerak seiring dengan matlamat penubuhannya. - BERNAMA

Artikel Lain