suria

Suasana Sayu Selubungi Sukarelawan Sambul Aidilfitri Di Perantauan

KARACHI: Suasana sedih dan sayu tidak dapat disembunyikan lagi oleh para sukarelawan misi bantuan kemanusiaan ke Pakistan yang rata-ratanya menyambut kehadiran Syawal jauh dari pangkuan keluarga.

Hampir kesemua mereka menyatakan rasa sedih tidak dapat berhari raya bersama keluarga dan insan tersayang, malah ada juga di kalangan mereka yang buat pertama kali menyambutnya di perantauan.

Pun begitu, semangat untuk meneruskan misi bantuan kemanusiaan yang berbaki dua hari lagi, masih lagi menebal di kalangan mereka.

Azni Abdul Latif, 29, yang merupakan jururawat di Hospital Serdang, Selangor ketika ditemui Bernama berkata berhari raya di perantauan merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

"Memang saya berasa amat sedih, dan semua orang pun begitu sebab ini kali pertama saya berhari raya jauh dari keluarga. Saya pun tak tahu bagaimana budaya berhari raya di sini.

"Tetapi tujuan sebenar saya di sini adalah untuk mencari pengalaman menerusi misi ini yang belum pernah saya perolehi. Saya juga dapat merasai kesusahan masyarakat di sini dan bersyukur dengan apa yang saya perolehi," katanya.

Beliau berkata juadah pagi hari raya seperti lemang, rendang dan ketupat yang tidak dapat diperolehi di sini, sekali-sekala hadir dalam ingatannya.

Khairil Shazwi Zaifulizan, 24, berkata apa yang bermain di fikirannya adalah untuk bersama-sama berhari raya bersama keluarga dan menikmati makanan nasi himpit bersama kuah kacang.

"Bagaimana pun, ia terpaksa dilupakan dulu kerana perlu untuk kita jayakan misi ini. Di sini, saya dapat lihat kesusahan orang yang lebih susah daripada rakyat Malaysia," katanya.

Abdul Latif Abdul Rahim, 50, yang juga merupakan urusetia logistik dalam misi kemanusiaan ini pula berkata walaupun terpaksa menyambut hari raya di perantauan, namun ia tidak menjejaskan semangatnya untuk menyumbang bakti kepada rakyat Pakistan yang dilanda bencana banjir.

"Memang saya sedih dan merindui keluarga dan rakan-rakan, namun kita datang sini, pasal raya kita dah lupakan dah," katanya yang turut disokong Khairul Azwan Pauzi, 21, yang menyifatkan ia adalah pengalaman baru baginya beraya di perantauan.

Bagi Bee Teck Loon, 26, dan G. Vicneswaran, 29, kesedihan rakan-rakannya yang akan menyambut hari raya di perantauan tanpa keluarga tersayang turut sama dikongsi dan dirasai.

Pakistan akan menyambut hari raya Aidilfitri, Sabtu ini.

Dalam perkembangan lain, Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim hari ini menyampaikan sumbangan kuih bahulu, susu tepung, kurma dan tepung atta (tepung untuk membuat capati) kepada kira-kira 400 keluarga di pusat pemindahan sementara mangsa banjir di kem 1 Shalter City di daerah Thatta.

Penyampaian sumbangan itu turut dihadiri Pegawai Kesihatan Daerah Thatta Dr Zahood Ahmed.

Misi kemanusiaan yang memasuki hari kelapan hari ini turut disertai Konsul Jeneral Malaysia di Karachi, Mohd Khalid Abdul Razak.

Misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Pakistan yang disertai 68 sukarelawan termasuk 40 doktor dalam pelbagai bidang perubatan serta wakil media massa dijadual berakhir pada Isnin ini selepas bermula 3 September lepas. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain