suria

Balai Polis Bergerak Tingkat Keyakinan Rakyat Di Wangsa Maju

KUALA LUMPUR: Kehadiran Balai Polis Bergerak berbentuk bas mini berwarna putih 24 jam sehari di sekitar Wangsa Maju sejak awal bulan ini, telah meningkatkan keyakinan rakyat mengenai keselamatan dan ketenteraman awam di kawasan tersebut.

Balai polis itu yang merupakan satu daripada 32 balai polis bergerak, akan ditempatkan secara berperingkat di 50 kawasan "panas" di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang, beroperasi dengan empat petugas yang bekerja dalam dua syif, serta boleh memuatkan lapan orang pada satu-satu masa.

Timbalan Ketua Balai Polis Wangsa Maju Sarjan Mejar Mohd Amin Hashim berkata balai polis itu akan bergerak di sekitar Wangsa Maju selain mengenal pasti kawasan yang banyak berlaku kejadian jenayah jalanan berdasarkan laporan penduduk.

Dengan cara ini, penyaluran maklumat berkaitan jenayah oleh masyarakat setempat dapat dilakukan dengan lebih efisien, katanya kepada Bernama di sini.

Balai polis bergerak itu akan diparkir di kawasan strategik yang menjadi tumpuan dan dilengkapi kemudahan bagi membolehkan orang ramai membuat aduan atau laporan polis.

Mohd Amin berkata ia berada di kawasan Rukun Tetangga Desa Setapak setiap Isnin, depan Kolej Tunku Abdul Rahman di Taman Bunga Raya (Selasa), kawasan perumahan dan kedai Taman Wangsa Melawati (Rabu), stesen Transit Aliran Ringan Taman Melati (Khamis), Rampai Business Park (Jumaat), Wangsa Link (Sabtu) dan Taman Sri Rampai (Ahad).

Beliau berkata balai polis bergerak itu juga berfungsi sebagai pusat kawalan bagi mengurangkan kadar jenayah dengan memudahkan penduduk sekitarnya membuat aduan tanpa perlu ke balai polis.

"Kita berharap orang ramai terutama penduduk setempat akan memanfaatkan sepenuhnya balai polis bergerak ini dengan tampil memberikan maklumat dan bantuan yang diperlukan," katanya.

Beliau berkata walaupun baru diwujudkan, pihaknya menerima maklum balas positif mengenai balai polis bergerak itu daripada masyarakat setempat dan lokasi persinggahannya akan diperbanyakkan.

Bagi seorang pengarah syarikat Ima Sallyza Ishak, 26, kewujudan balai polis bergerak itu memberikan keyakinan kepadanya selain penting dalam menjamin ketenteraman awam.

"Saya berasa lebih yakin dengan tahap keselamatan, terutamanya keselamatan diri, keluarga dan harta benda selepas adanya balai polis bergerak di kawasan ini.

"Kawasan sekitar akan lebih terkawal dan masyarakat boleh menjalankan tanggungjawab sosial selaku pemerhati dan pelapor sebarang kegiatan jenayah dengan lebih berkesan," katanya.

Mohd Azammuddin Arip, 35, seorang eksekutif insurans pula berkata, kewujudan balai polis bergerak berhampiran kawasan perniagaan, bank dan sekolah sememangnya amat dinanti-nantikan.

Beliau berkata ia akan memudahkan pegawai serta anggota polis melaksanakan tugas mereka dengan lebih berkesan selain berupaya mendekati masyarakat. - BERNAMA

Artikel Lain