suria

Pindaan Perlembagaan BN Langkah Positif – Shabery

MACHANG: Cadangan Barisan Nasional (BN) untuk meminda perlembagaannya bagi menarik sokongan muda menyokong BN pada pilihan raya umum akan datang adalah satu langkah positif, kata Anggota Majlis Teringgi Umno Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata langkah itu sebagai satu transformasi BN dan Umno bagi mengukuhkan sokongan rakyat terhadap parti pada pilihan raya umum akan datang.

Ditemui pemberita di sini hari ini, Ahmad Shabery yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata untuk menarik lebih ramai lagi golongan muda syarat-syarat sedia ada sekarang perlu diubah mengikut keadaan semasa.

Syarat-syarat yang ada sekarang terlalu sukar bagi mereka mendekati malah menyertai parti kerana mereka terpaksa menghadapi pelbagai halangan lebih-lebih di peringkat cawangan dan bahagian, katanya.

Ahmad Shabery mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan BN Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Ahad bahawa BN bercadang meminda perlembagaan parti bagi membolehkan masyarakat, khususnya golongan muda mendekati parti.

Ahmad Shabery berkata menerusi pindaan itu kelak diharapkan mereka bukan sahaja akan mendekati parti tetapi juga berpeluang menyertai parti secara sah bagi menjamin kemenangan pada pilihan raya umum kelak. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain