suria

Umno Kedah Tunggu Laporan Kekecohan Di Bahagian Sungai Petani

KULIM: Badan Perhubungan Umno Kedah akan mendapatkan laporan penuh daripada wakil pemantaunya mengenai kekecohan yang berlaku pada mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Sungai Petani semalam.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Paduka Ahmad Bashah Mohd Hanipah berkata, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan atau membuat cadangan berdasarkan laporan akhbar.

"Perhubungan negeri akan menunggu laporan rasmi yang lengkap dan selepas itu akan membuat keputusan mengenainya," katanya apabila diminta mengulas kejadian tersebut.

Akhbar hari ini melaporkan mesyuarat yang berlangsung di Sungai Petani Inn itu menjadi kecoh apabila sekumpulan anggota perwakilan termasuk Wanita yang tidak berpuas hati dengan ketua bahagian, Ali Yahaya, bangun dan secara terbuka meminta beliau melepaskan jawatan dan menghalang beliau daripada berucap.

Ahmad Bashah berkata, Umno negeri dukacita dengan kejadian itu dan berharap kejadian seumpama itu tidak berulang di tempat lain.

Ketika ditemui pemberita selepas menutup majlis anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Kampung Baru Jemerli, Merbau Pulas dekat sini, hari ini beliau berkata, Umno tidak akan terburu-buru membuat keputusan berdasarkan jawapan satu pihak sahaja.

Katanya, laporan tersebut akan diserahkan kepada Majlis Tertinggi Umno untuk membuat keputusan sama ada menggantung bahagian itu atau mengenakan tindakan disiplin kepada pihak terbabit.

Pada majlis itu, Ahmad Bashah menyerahkan replika kunci rumah Program Bina Rumah (PBR) KEDA kepada G. Devi, 34, wanita keturunan India pertama di Kedah yang mendapat bantuan di bawah program itu.

Dewi, seorang suri rumah, tinggal bersama 15 anggota keluarganya dalam sebuah rumah usang di Kampung Paya Ketiau, Padang Serai. - BERNAMA

Artikel Lain