suria

Polis Kajang Tahan Empat Suspek Dengan Senjata Api, Bom Buatan Sendiri

KUALA LUMPUR: Polis merampas beberapa jenis senjata api, bom buatan sendiri dan beberapa jenis dadah serta menahan empat orang termasuk seorang wanita di sebuah rumah di Taman Koperasi Cuepacs, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Shakaruddin Che Mood berkata serbuan di tingkat dua rumah kedai milik wanita itu menyusul selepas polis menahan seorang daripada mereka di tepi jalan kawasan perumahan berkenaan kerana disyaki terlibat dalam pengedaran dadah.

Pemeriksaan ke atas rumah itu menemui beberapa paket dadah disyaki eramin 5, syabu dan ecstacy seberat 12 gram, dua pucuk pistol, dua kelopak peluru, dua butir peluru, empat bilah pedang pelbagai bentuk, tiga butir bom tangan buatan sendiri dan tiga telefon bimbit yang diubahsuai menjadi alat renjatan elektrik, katanya.

Beliau berkata sepucuk pistol berkenaan adalah buatan sendiri, manakala bom tangan tersebut telah dimusnahkan Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia.

Selain itu polis turut merampas 15 lagi telefon bimbit, dua komputer riba, wang tunai berjumlah RM27,578 dan sebuah kereta dipercayai milik seorang suspek.

"Kita tidak menolak kemungkinan rumah yang disewa baru sebulan itu dijadikan tempat membuat senjata api dan suspek juga dipercayai terlibat dengan jenayah samun atau jenayah yang lebih berat lagi," katanya.

Mohd Shakaruddin berkata kawasan rumah itu juga dipasang dengan tujuh kamera litar tertutup, dan suspek yang berusia antara 22 dan 39 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah secara kecil-kecilan di sekitar daerah tersebut.

Polis juga katanya menyiasat sama ada suspek terlibat dengan kegiatan pertaruhan haram Piala Dunia secara talian berdasarkan penemuan sejumlah wang tunai dan komputer riba itu.

Beliau berkata kesemua suspek itu yang disahkan positif syabu, ditahan reman selama lima hari sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api dan Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain