suria

Kempen Beli Barangan Malaysia Dorong Syarikat Tempatan Lebih Kompetitif

KUALA LUMPUR: Kempen Beli Barangan Malaysia bukan sekadar usaha kerajaan melindungi industri tempatan malah lebih kepada memupuk satu proses agar syarikat tempatan lebih berani bersaing, membuat inovasi dan meningkatkan produktiviti barangan untuk bersaing di peringkat lebih tinggi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Secara khusus Kempen Beli Barangan Malaysia ini tidaklah boleh dilihat sebagai satu usaha pelindungan tetapi sebagai pengiktirafan untuk melancarkan lagi peranan sektor swasta menjadi lebih kompetitif di peringkat dunia.

"Di sinilah antara peranan yang kita tekankan melalui Kempen Beli Barangan Malaysia iaitu bukan sahaja untuk memprojekkan barangan buatan Malaysia yang semakin setanding dengan produk daripada negara luar tetapi untuk memupuk satu proses di mana syarikat-syarikat tempatan semakin hari semakin tinggi produktivitinya, semakin berani membuat inovasi, semakin berdaya saing di peringkat global," katanya.

Beliai berkata demikian pada pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Najib berkata kempen itu juga merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengukuhkan produk dan jenama tempatan dalam kalangan masyarakat tempatan yang ada kalanya lebih cenderung untuk membeli barangan luar negara.

Beliau berkata masyarakat harus melihat bahawa syarikat-syarikat tempatan mesti diberi rangsangan supaya mereka memperoleh pasaran tempatan untuk dijadikan asas atau tapak untuk bergerak ke peringkat lebih tinggi sama ada di pasaran serantau mahupun antarabangsa.

Katanya tanpa pembelian daripada pasaran tempatan, amat sukar untuk syarikat-syarikat tersebut melangkah ke pasaran eksport kerana untuk mencapainya mereka memerlukan asas yang kukuh.

"Apabila telah menguasai pasaran domestik, maka lebih mudah untuk menguasai sebahagian pasaran eksport, kerana telah memiliki pasaran tempatan yang kukuh," katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapannya pula berkata, kementerian itu sedang merancang untuk mengadakan pameran Kempen Beli Barangan Malaysia di luar negara melalui "Program Go Global".

Beliau berkata berdasarkan sambutan dan peluang yang diperoleh syarikat tempatan melalui kempen itu, kementerian mengenal pasti produk-produk tempatan yang berkemampuan untuk diketengahkan di luar negara.

Pameran Kempen Beli Barangan Malaysia kali ini melibatkan 185 syarikat. Ia akan berlangsung sehingga Ahad ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain