suria

Parti Komponen BN Bukan Wakili Kaum Tertentu

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) bahawa perjuangan mereka kini adalah untuk semua rakyat bukan untuk kepentingan kaum yang diwakili.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, Umno sekarang bukan mewakili orang Melayu sahaja begitu juga MCA dan Parti Progresif Penduduk (PPP) kini tidak lagi mewakili kaum Cina serta India semata-mata.

"Setiap komponen BN sekarang harus berjuang untuk membela nasib semua kaum.

"PPP yang majoriti ahli kaum India tidak sepatutnya memperjuangkan orang India sahaja, MCA bukan perjuangkan orang Cina apatah lagi Umno yang mesti membela semua kaum," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Konvensyen PPP Wilayah Persekutuan di sini semalam.

Hadir sama ialah Presiden PPP, Datuk M. Kayveas.

Muhyiddin berkata, semua komponen perlu mengubah strategi bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada BN.

Perpaduan dalam parti mesti diutamakan supaya transformasi politik seiring dengan perubahan yang dilaksanakan kerajaan, kata beliau.

Beliau menegaskan, harapan rakyat kini berbeza berbanding dahulu.

"Oleh itu langkah-langkah menyatupadukan parti mesti diutamakan bukan untuk pilihan raya umum tetapi bertujuan membela rakyat," tegasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, BN tidak pernah berhenti dalam usaha memajukan negara.

Kata beliau, ada perkara-perkara yang tidak ada perubahan walaupun banyak usaha telah dilakukan.

"Sebagai contoh, sebanyak 40 peratus daripada populasi rakyat Malaysia memperoleh pendapatan di bawah RM3,000.

"Sebab itu dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) kerajaan mahu beri tumpuan menggandakan pendapatan penduduk terbabit dan usaha ini telah pun bermula," jelas beliau.

Artikel Lain